Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

20 Muharram 1425/12 Mac 2004


PUNCA MELAKUKAN DOSA DAN MAKSIAT


Saudara muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita bertakwa kepada Allah Subhanahu Wataala dengan mengerjakan apa jua suruhannya dan meninggalkan apa jua larangannya. Mudah-mudahan kita selamat di dunia dan di akhirat.

Setiap hamba Allah Subhanahu Wataala yang hidup di muka bumi ini tidak terlepas dari melakukan dosa terhadap Allah Subhanahu Wataala, sama ada kecil atau besar, sengaja atau pun tidak. Ini kerana sifat semula jadi manusia yang lemah dan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsunya. Tetapi itu bukanlah alasan sebagai membolehkan berbuat dosa, kerana orang yang beriman setentunya taat kepada perintah Allah Subhanahu Wataala dan sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan tidak akan mudah kalah oleh hawa nafsu sebaliknya berusaha menghindarkan dirinya dari melakukan dosa dan maksiat.

Kita sebagai orang Islam hendaklah takut melakukan dosa, kerana Allah Subhanahu Wataala murka kepada mereka yang melakukannya. Azab dan kemurkaan Allah Subhanahu Wataala itu terang dan jelas diceritakan dalam Al-Quran dan Hadith. Akan tetapi malangnya masih ada di antara manusia yang melakukan perbuatan kemungkaran dan maksiat dengan cara sengaja dan terang-terangan. Oleh itu ketahuilah segala perkara yang melanggar perintah Allah Subhanahu Wataala baik dalam soal meninggalkan suatu perkara yang disuruh seperti tidak bersembahyang, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat dan sebagainya. Ataupun melakukan perkara yang dilarang seperti berjudi, berdusta dan sebagainya. Kerana balasan bagi mereka yang berbuat dosa ialah api neraka sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Maryam, ayat 70 – 72 :-

Tafsirnya :
Kemudian, sesungguhnya kami lebih mengetahui akan orang-orang yang lebih patut disiksa dan dibakar dengan api neraka itu. Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya, yang demikian adalah satu perkara yang mesti berlaku yang telah ditetapkan oleh tuhanmu. Kemudian kami akan selamatkan orang-orang yang bertakwa dan kami akan biarkan orang-orang yang zalim dengan kekufurannya dan maksiatnya tinggal bertelut (duduk berlutut) di dalam neraka itu.

Ahli Jumaat sekalian,
Imam Ghazali dalam kitabnya “Ihyaahu ‘Uluumuddin” ada mengatakan bahawa dosa itu berlaku kerana dorongan oleh empat perkara:-

Pertama : Sifat Rububiyah (sifat ketuhanan) iaitu apabila seseorang itu mengambil sifat-sifat tuhan untuk dipakai pada dirinya seperti takbur, suka dipuji dan disanjung. Sifat-sifat ini hanya layak bagi Allah Subhanahu Wataala.

Kedua :  Sifat Syaitaniyah (sifat syaitan) iaitu apabila seseorang itu ada sifat-sifat hasad dengki, tipu helah, inaya dan lain-lain kerana sifat ini boleh mendorong kepada perbuatan mungkar, maksiat dan menyesatkan.

Ketiga :  Sifat Bahiimiyah (sifat kebinatangan) seperti tamak haloba, menurut nafsu perut, memakan harta anak yatim, mencari harta kekayaan semata-mata untuk memuaskan nafsu buas dan lain-lain.

Keempat :  Sifat-sifat Subu’iyah (sifat kebuasan) seperti marah, dendam, mencaci orang, memukul, membunuh, memusnahkan harta benda dan lain-lain lagi.

Semua sifat tersebut merupakan punca kepada melakukan segala dosa dan maksiat, jika ia dibiarkan bermaharajalela maka akan rosak binasalah manusia. Ketahuilah bahawa dosa itu amat merbahaya, ia diumpamakan racun dalam tubuh badan manusia yang akan meresap keseluruh tubuh badan dan akan membawa maut jika tidak diubati dengan segera. Begitulah juga halnya dengan dosa, jika tidak segera bertaubat kepada Allah Subhanahu Wataala, nescaya ia akan merebak dan membahayakan keimanan dan keselamatan kita, bahkan diri orang itu seterusnya akan menerima azab dari Allah Subhanahu Wataala.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya perkara dosa bukanlah suatu yang boleh diambil ringan. Tetapi sebaliknya memerlukan kita berhati-hati dan berjaga-jaga dalam setiap gerak-geri kita, baik dari segi percakapan mahupun perbuatan, jangan sampai apa yang kita lakukan menjadi dosa dan maksiat yang akan membawa kecelakaan dan azab ke atas diri kita di kemudian hari.

Kita perlu ingat bahawa dosa kecil akan menjadi bertambah banyak dan besar oleh beberapa sebab. Antaranya ialah jika perbuatan salah yang mendatangkan dosa itu dilakukan berulang kali dan berterusan.  Jika dibiarkan ia boleh menjadi kebiasaan yang sukar untuk ditinggalkan yang akhirnya akan mendorong pula melakukan dosa besar. Contohnya membunuh atau pun fitnah berlaku bermula daripada sifat benci-membenci, bermusuhan, setelah itu membawa kepada pergaduhan dan akhirnya pembunuhan.

Wahai kaum muslimin,
Jangan fikir jika kita berbuat dosa dan kita tidak menerima balasannya di dunia ini bermakna kita akan terlepas daripada azab yang dijanjikan oleh Allah Subhanahu Wataala. Sesungguhnya Allah Subhanahu Wataala itu maha mengetahui atas apa yang kita lakukan.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Maryam, ayat 75 :-

Tafsirnya :
Katakanlah wahai Muhammad “sesiapa yang berada di dalam kesesatan, maka biarlah Allah Ar-Rahman melanjutkan baginya satu tempoh yang tertentu, hingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka sama ada azab sengsara di dunia ataupun azab kiamat, maka pada saat itu mereka akan mengetahui siapakah orangnya yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah penyokong-penyokongnya.

Oleh itu dalam melakukan sesuatu pekerjaan kita hendaklah berwaspada dan berhati-hati jangan sampai kerja yang kita lakukan itu mendatangkan dosa. Ketahuilah bahawa sesungguhnya setiap perbuatan baik yang kita lakukan, jika ia menjadi ikutan orang ramai, maka kita akan mendapat pahala yang berlipatganda, dan begitulah juga sebaliknya. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda :-  

Maksudnya :
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Barangsiapa yang menyeru untuk berbuat kebaikan, maka dia akan mendapat ganjaran pahala sepertimana balasan orang-orang yang mengikutnya, sama sekali tidak dikurangkan ganjaran pahala mereka itu barang sedikitpun. Dan barangsiapa yang menyeru untuk berbuat keburukan, maka dia akan mendapat ganjaran dosa sepertimana balasan orang-orang yang mengikutinya, sama sekali tidak dikurangkan balasan dosa mereka itu barang sedikitpun.

Ahli Jumaat sekalian,
Sebagai orang yang beriman, janganlah kita mudah leka dan lalai dengan kehidupan di dunia ini, dan marilah kita sentiasa berdoa memohon perlindungan daripada Allah Subhanahu Wataala dan sentiasa beristighfar dan bertaubat kepadanya dan berusaha menghindarkan diri dari berbuat perkara yang boleh mendatangkan dosa sama ada secara sengaja atau tidak. Sedarlah bahawa kita tidak akan hidup kekal selama-lamanya. Oleh itu siapkan diri kita dengan bekalan yang berupa amal ibadat, kerana amal kebaikan sahajalah yang akan menyelamatkan kita di padang mahsyar nanti.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Maryam, ayat 85 hingga 87 :-

Tafsirnya :
Ingatlah hari kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk menghadap Allah Ar-Rahman dengan berpasuk-pasuk (berkumpulan). Dan kami akan menghalau orang-orang yang bersalah ke neraka jahanam dalam keadaan dahaga. Mereka tidak berhak mendapat dan memberi syafaat, kecuali orang yang telah mengikat perjanjian dengan iman dan amal soleh di sisi Allah yang melimpah-limpah rahmatnya.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||