Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

08 Rabiulakhir 1425/28 Mei 2004

MEMPERTAHANKAN NEGARA DARIPADA SEGALA ANCAMAN DAN PENCEROBOHAN MUSUH YANG BOLEH MENGGUGAT KEAMANAN DAN KEDAULATAN NEGARA

 

Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Tarikh 31 Mei adalah tarikh yang bersejarah dan menjadi ristaan bagi Negara Brunei Darussalam dan generasi yang akan datang, iaitu tarikh Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei. Angkatan bersenjata mempunyai tugas yang sangat murni iaitu mempertahankan negara daripada segala ancaman dan pencerobohan musuh yang boleh menggugat keamanan dan kedaulatan negara. Alhamdulillah, Negara Brunei Darussalam mempunyai pasukan angkatan bersenjata yang berkemampuan menjadi benteng utama kepada pertahanan negara. Dan kita sebagai rakyat dan penduduk negara ini patutlah bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala, dan berbangga terhadap sumbangan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei yang tidak ternilai harganya kepada keamanan dan juga kesejahteraan negara kita yang tercinta ini.

Tugas mempertahankan agama dan negara amat besar ganjarannya di sisi Allah Subhanahu Wataala, seandainya kita gugur dalam menjalankan tugas tersebut Insya Allah, Allah Subhanahu Wataala akan memberikan ganjaran pahala yang setimpal dengannya.

Ini bertepatan dengan maksud hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  yang diriwayatkan oleh Al-Imam Abi Daud dari Muaz Radiallahu-Anhu dari Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-

Barang siapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar masa orang memerah susu unta, maka wajib baginya syurga. Dan barang siapa yang bermohon kepada Allah Subhanahu Wataala dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad kemudian ia mati atau dibunuh, maka sesungguhnya baginya balasan syahid. Dan barang siapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka ia datang pada hari kiamat sederas darah yang mengalir ketika luka, warnanya seperti zakfaran dan baunya bagaikan wangi kasturi.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga bersabda:-
Maksudnya:

Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:  Sesungguhya di dalam syurga itu ada seratus darjah, yang disediakan Allah Subhanahu Wataala bagi orang yang berjihad pada jalan Allah. Di antara satu darjah dengan darjah yang lain seperti di antara langit dan bumi.
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Ahli Jumaat yang diberkati Allah,
Sesungguhnya kemenangan dalam medan pertempuran ataupun dalam mempertahankan negara, bukan hanya terletak kepada keramaian bilangan tentera serta kelengkapan peralatan canggih sahaja. Tetapi memerlukan juga kepada semangat juang dan kekuatan mental, jiwa dan rohani. Inilah sikap yang patut ada pada setiap parajurit, semangat yang kuat, kental dan berani, tidak mudah mengaku kalah dan tidak takut mati. Jika mereka memiliki sifat tersebut, maka Insya Allah akan melahirkan tentera yang berkualiti dan berdisiplin.  Kekuatan tentera Islam itu sebenarnya berpunca dari kekuatan iman dan ikhlas berjuang kerana Allah Subhanahu Wataala semata-mata serta ketaatan kepada ketua.

Kita imbas kembali kepada perjuangan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam mempertahankan agama Islam, banyak perkara yang dapat dijadikan iktibar dan dapat dicontohi dalam menjalankan tugas sebagai anggota angkatan bersenjata. Contohnya peperangan badar, angkatan tentera Islam yang bilangannya lebih kecil yang hanya seramai 313 orang, berbanding dengan bilangan tentera musyrikin mekkah yang seramai 1000 orang dengan kelengkapan yang mencukupi. Tetapi dengan keimanan yang kuat, keikhlasan dalam berjihad, dan sentiasa berdoa kepada Allah Subhanahu Wataala, berzikir dan bersatu hati dalam mempertahankan agama, akhirnya tentera Islam dapat mengalahkan tentera musyrikin dalam peperangan badar tersebut.

Wahai kaum muslimin, di samping mengharapkan bantuan daripada Allah Subhanahu Wataala, perlu juga diingat bahawa peranan dan kebijaksanaan ketua dalam mengatur strategi peperangan juga amat penting. Itulah formula yang sangat-sangat perlu ditanamkan ke dalam jiwa setiap anggota angkatan bersenjata Negara Brunei Darussalam bagi menjaga dan memastikan keamanan negara, kesentosaan dan kestabilan hidup rakyat sentiasa terjamin.

Adalah menjadi kewajipan orang yang dipimpin mentaati ketua mereka selagi perkara yang diarahkan tidak melanggar hukum Islam. Perkara mentaati ketua inilah yang dapat membentuk parajurit yang benar-benar bertanggungjawab dan rela berkorban mempertahankan negara. Perkara taat dan patuh itu amat penting kerana tanpanya boleh memecah-belahkan perpaduan dan persefahaman angkatan bersenjata. Jika ini berlaku akan menyebabkan benteng pertahanan menjadi lemah. Sebagai contoh peristiwa peperangan Uhud, di mana ketika tentera Islam mula menampakkan kemenangan mereka, tentera pemanah mula keluar turun dari tempat pertahanan mereka dan melanggar perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam supaya bertahan di liring bukit Uhud walaupun apa yang terjadi. Mereka juga turut mengingkari perintah ketua mereka Abdullah bin Jubair supaya taat kepada perintah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam untuk bertahan. Maka akibatnya tentera Islam menghadapi ancaman musuh dan menyebabkan pertahanan kucar-kacir. Walau bagaimanapun tentera Islam masih dapat bertahan menghadapi serangan musuh disebabkan semangat jihad yang kental serta rasa taat dan cinta pada Allah dan Rasulnya, walaupun ramai yang terkorban mati syahid.

Muslimin yang dirahmati,
Oleh itu, dalam kita memperingati Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata ini, para anggota tentera sekalian wajiblah mempertingkatkan keimanan dan memperbanyakkan bertawakal kepada Allah Subhanahu Wataala. Berwaspada dan sentiasa mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wataala. Dengan niat yang suci, bekerja dengan jujur dan amanah mengikut ajaran agama Islam, dengan demikian Insya Allah, agama, raja, bangsa dan negara akan terpelihara dan selamat serta mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Anfaal, ayat 45:-

Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman!  Apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan musuh maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatlah Allah Subhanahu Wataala dengan berdoa banyak-banyak, supaya kamu berjaya mencapai kemenangan.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||