Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

15 Rabiulakhir 1425/04 Jun 2004

BAHAYA MEROKOK


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam sangat-sangat mengambil berat mengenai maslahat umatnya dan tidak mahu umatnya terlibat dengan perkara-perkara yang membahayakan dan mendatangkan kemudaratan terhadap diri mereka. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Baqarah, ayat 195:-

Tafsirnya:
Dan belanjakanlah hartamu di jalan Allah, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan, dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berbuat baik.

Di antara perkara yang boleh memudaratkan manusia ialah perbuatan merokok.  Perbuatan merokok ini merupakan suatu masalah yang serius dan membimbangkan. Apatah lagi dengan meningkatnya peratus para perokok terutama penglibatan para remaja dengan perbuatan merokok ini.

Berdasarkan kajian kesihatan menyatakan bahawa merokok boleh menyebabkan beberapa penyakit seperti penyakit kanser, penyakit jantung, penyakit angin ahmar atau strok, ampus dan penyakit paru-paru kronik dan sebagainya. Merokok juga boleh mengakibatkan kesan-kesan lain seperti kurang kecergasan fizikal. Kajian terbaru juga menunjukkan bahawa merokok juga boleh meningkatkan risiko kemandulan bagi wanita dan mati pucuk bagi lelaki. Bagi ibu-ibu yang mengandung pula, merokok boleh mendatangkan kemudaratan pada anak di dalam kandungannya seperti kematian semasa dalam kandungan, keguguran, lahir tidak cukup bulan, kurang berat badan dan lebih mudah mendapat jangkitan paru-paru dan penyakit asma.

Perlu juga diingat, bahaya dan akibat merokok bukan saja tertumpu kepada orang yang merokok itu sendiri tetapi melibatkan orang yang tidak merokok kerana mereka terdedah dengan asap rokok dan juga akan menerima kesan negatif rokok.

Muslimin yang berbahagia,
Perbuatan merokok itu adalah perbuatan yang sia-sia dan tidak menguntungkan, sebaliknya ianya hanya merugikan dan tidak mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada manusia dan merupakan suatu pembaziran, oleh yang demikian kita perlulah mengambil keputusan yang tepat supaya jangan merokok dan bagi yang merokok pula menghentikan tabiat merokok ini.

Agama Islam telah pula memberikan peringatan kepada umatnya bahawa perbuatan membazir itu hendaklah dijauhi. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Israa’, ayat 26 – 27:-

Tafsirnya:
Dan berikanlah kepada kerabat-kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau.  Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah mahluk yang sangat kufur kepada tuhannya.

Dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam :

Maksudnya:
Daripada Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : Seseorang itu tidak boleh memudaratkan orang lain yang boleh mengurangkan haknya dan orang yang dimudaratkan itu tidak boleh pula membalasnya dengan
kemudaratan. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)

Oleh yang demikian, setelah kita mengetahui bahaya dan akibat dari sudut syara’ dan kesihatan tentang keburukan merokok itu, maka berbagai-bagai langkah telah dibuat untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap bahaya rokok itu seperti pendidikan kesihatan melalui kempen-kempen, forum-forum, ceramah-ceramah, poster-poster dan risalah-risalah. Di samping itu bagi mengelakkan orang ramai dari perbuatan merokok, pihak kerajaan telah mengambil beberapa langkah antaranya seperti berikut:-

  • Pelancaran kempen kesihatan anti merokok oleh Kementerian Kesihatan dari sejak tahun 1988.

  • Meraikan sambutan sempena hari tanpa tembakau sedunia setiap tahun pada 31 Mei.

  • Larangan kemasukan rokok ke Negara Brunei Darussalam tanpa amaran kesihatan sebagaimana diperuntukkan di dalam akta kastam 1991.

  • Larangan merokok di semua bangunan kerajaan bermula pada 1 September, 1994.

  • Kenaikan pengenaan cukai ke atas tembakau kepada 200% bermula pada 1 Disember, 1994.

  • Larangan merokok di kesemua pesawat Royal Brunei Airline semenjak 1 April 1998

  • Tegahan untuk merokok di dalam semua sekolah bermula pada 1 Januari 2002.

Dalam hubungan ini, memandangkan masjid adalah tempat suci, mulia dan sebagai syiar Islam di sesebuah negara, maka kerjasama orang ramai adalah sangat-sangat diperlukan bagi sama-sama menjaganya dari sebarang pencemaran dan tidak menjadikannya tempat merokok.

Kaum Muslimin sekalian,
Sedarlah dan ingatlah akan akibat dan bahaya merokok. Oleh yang demikian, sama-samalah kita mengambil langkah yang wajar bagi membanteras dari meluasnya gejala merokok dan menguatkan lagi azam dan usaha ke arah membendungnya. Semua pihak dan  setiap individu adalah memainkan peranan yang penting dalam mengatasi masalah merokok ini bagi menjadikan udara negara kita, udara yang bersih dan bebas dari pencemaran. Kita berdoa mudah-mudahan hidup kita akan mendapat perlindungan daripada Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Asy-Syuraa, ayat 30:-

Tafsirnya:
Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan atau bala bencana, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa dan dalam pada itu Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||