PERANAN
LIDAH
Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu
Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala
suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi
insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Bersyukurlah
kita kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana telah melimpahkan nikmat yang
tidak terkira banyaknya kepada kita. Di antara nikmat yang utama yang
dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada hambanya ialah lidah. Lidah
mempunyai kebaikan dan manfaat yang amat banyak, bagi mereka yang menjaga
dan menggunakannya ke arah tujuan yang sebenar seperti berzikir kepada
Allah Subhanahu Wataala, membaca Al-Quran, berdakwah menyeru manusia ke
arah mentaati perintahnya dan meninggalkan segala larangannya dan memberi
nasihat serta teguran yang berguna kepada sesama manusia.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya lidah itu merupakan nikmat yang amat berharga kerana itu kita
hendaklah menjaga dengan sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan
sehingga menjadi penyebab rosaknya iman, menjejaskan hubungan sesama
manusia, mengakibatkan permusuhan dan perpecahan dan bermacam-macam lagi
kebinasaan. Kerana itu agama Islam menegah umatnya dari menyalahgunakan
lidah seperti melakukan perbuatan-perbuatan berikut:-
Pertama:
Berkata dusta atau berbohong iaitu menyampaikan perkara-perkara
yang tidak benar ataupun menafikan perkara yang benar-benar berlaku. Orang
yang suka bercakap bohong, tidak akan mendapat kepercayaan dari sesiapa
pun, bahkan akan dilabel atau digelar sebagai penipu. Allah Subhanahu
Wataala juga murka dan mengutuk orang-orang yang berkata bohong,
sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali-‘Imran, ayat
61:-
Tafsirnya:
Serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpa kepada orang-orang yang
berdusta.
Kedua:
Mengumpat atau ghibah ialah menyebut suatu perkara yang tidak baik
seperti mengatakan tentang kekurangan, kecacatan atau pun keburukan
terhadap saudaranya atau orang lain, yang menyebabkan orang berkenaan akan
merasa tersinggung atau marah yang membawa kepada persengketaan.
Perbuatan mengumpat bukan sahaja dilakukan dengan lidah tetapi juga
dengan tulisan atau dengan menggunakan isyarat dan sebagainya.
Sesungguhnya
perbuatan mengumpat itu amat keji dan berdosa besar sehingga Allah
Subhanahu Wataala mengumpamakan orang yang mengumpat itu sama seperti
orang yang memakan daging saudaranya yang telah mati, sebagaimana
disebutkan dalam surah Al-Hujuraat, ayat 12:-
Tafsirnya:
Dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang
dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.
Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang
telah mati? Jika demikian keadaan mengumpat maka sudah tentu kamu jijik
kepadanya. Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut dan
bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi
maha mengasihi.
Ketiga:
Perbuatan namimah atau menghasut iaitu menyampaikan percakapan
seorang kepada orang lain dengan tujuan menimbulkan fitnah dan pergaduhan,
penganiayaan, penindasan, permusuhan, kekacauan dan huru-hara baik dalam
hubungan bersaudara, bermasyarakat, beragama dan bernegara. Perbuatan
namimah atau menghasut itu samalah juga dikatakan seperti “batu api”
atau “gunting dalam lipatan”.
Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-
Maksudnya:
Daripada Ibnu Abbas Radiallahu-Anhuma berkata:
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah melalui dua kubur lalu
Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda sesungguhnya penghuni kedua-dua
kubur ini di azab, dan yang menyebabkan kedua-duanya di azab kerana
perkara besar. Yang pertama kerana tidak menjaga kencingnya dan yang kedua
kerana mengumpat. (Riwayat
Al-Imam Al-Bukhari)
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Tidak sesiapa pun dapat menafikan, pada masa kini kita dapati bahawa
terdapat segelintir orang yang suka bercakap sia-sia dan mendatangkan dosa.
Perbuatan ini sering dilakukan di majlis-majlis keramaian seperti majlis
perkahwinan dan majlis kenduri, dan sekarang ini berlaku pula melalui
kemudahan alat-alat telekomunikasi dan kemudahan-kemudahan IT seperti di
Internet dan SMS. Sedangkan
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengingatkan umatnya supaya
jangan berkata pada perkara yang tidak baik dan berdosa tetapi berkatalah
pada perkara yang baik dan berfaedah. Jika tidak, adalah lebih baik
berdiam diri sahaja. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-
Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi
Wasallam bersabda: Barangsiapa
yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka berkatalah yang baik atau
lebih baik berdiam diri. (Riwayat
Al-Imam Al-Bukhari)
Ahli
Jumaat Sekalian,
Sebagai seorang muslim, sepatutnya kita menunjukkkan keperibadian seorang
muslim, merasa malu berkata sesuatu yang tidak elok dan takut berbuat dosa
dan takut akan balasan dan azab Allah Subhanahu Wataala sebagaimana yang
dijanjikan terhadap mereka yang melakukannya. Gunakanlah lidah ke arah
kebaikan dan keredhaan Allah Subhanahu Wataala bukan ke arah kemurkaan dan
kebinasaan, seperti bersumpah palsu, melaknat orang lain, mencaci-maki,
memanggil dengan panggilan tidak disukai orang, membuat tuduhan palsu,
mendoakan orang muslim supaya ditimpakan kecelakaan, mengadu domba,
bercakap kotor atau tidak senonoh, bertengkar dan sebagainya. Jadikanlah
diri kita hamba yang tahu bersyukur dan menggunakan nikmat yang
dikurniakan Allah Subhanahu Wataala dengan sebaik-baiknya.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hujuraat, ayat 11:-
Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak dari kaum lelaki
mencemuh dan merendah- rendahkan puak lelaki yang lain, kerana harus puak
yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu
puak dari kaum perempuan mencemuhkan yang lain, kerana harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah sesetengah kamu
menyatakan keaiban setengah yang lain dan janganlah pula kamu panggil
memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
Seburuk-buruk panggilan ialah panggilan yang buruk sesudah iman dan
barangsiapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang
zalim.