Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

03 Rabiulawal 1425/23 April 2004


ZAKAT HARTA

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Kahfi, ayat 46:-

Tafsirnya:
Harta benda dan anak pinak itu, adalah perhiasan kehidupan di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Harta adalah salah satu nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hambanya dan sangat diperlukan oleh semua orang. Tanpa harta hidup akan susah. Dan kerana hartalah juga manusia boleh menjadi susah jika harta itu disalahgunakan.  Sebenarnya agama Islam telah memberikan bimbingan dan panduan untuk diikuti tentang bagaimana cara menggunakan harta itu dengan betul dan selamat. Dengan harta kita boleh mengerjakan amal kebajikan seperti bersedekah, melakukan amal jariah dan lain-lain lagi. Dengan harta juga kita boleh melaksanakan bermacam-macam ibadat antaranya menunaikan ibadat haji dan mengeluarkan zakat bagi mereka yang telah cukup syarat-syaratnya.

Wahai kaum muslimin,
Ketahuilah bahawa harta yang dikurniakan Allah kepada kita bukan harta kita sepenuhnya, tetapi terdapat hak orang lain yang sudah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wataala. Oleh yang demikian Allah Subhanahu Wataala telah memerintahkan umat Islam supaya mengeluarkan zakat.

Zakat dari segi bahasa bermaksud mensucikan, bertambah-tambah, manakala zakat dari segi syara’ pula ialah nama bagi harta yang tertentu, diambil daripada harta yang tertentu menurut peraturan-peraturan yang tertentu dan dibahagikan kepada orang yang berhak menerimanya.

Zakat mula disyariatkan pada tahun kedua hijrah dan ianya terbahagi kepada dua bahagian iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Bila kita memperkatakan tentang zakat harta, maka perkara utama yang patut kita ketahui ialah apakah harta yang wajib untuk dizakat. Harta yang wajib dizakat itu ialah:-

Pertama :  Binatang ternakan iaitu unta, lembu, kerbau dan kambing.

Kedua :  Biji-bijian iaitu beras, gandum, jagung dan biji-bijian yang menjadi makanan utama manusia.

Ketiga :  Buah-buahan iaitu seperti kurma dan anggur.

Keempat :  Bahan-bahan Logam iaitu emas, perak, harta galian dan termasuklah juga rikaz iaitu harta terpendam dalam perut bumi.

Kelima :  Harta perniagaan.
Kewajipan mengeluarkan zakat banyak difirmankan oleh Allah Subhanahu Wataala dalam Al-Quran dan disabdakan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dalam hadith baginda.

Di antaranya, Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah An-Nisaa, ayat 77:-

Tafsirnya:
Dan dirikanlah sembahyang serta keluarkanlah zakat.

Dan sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Maksudnya:
Dari Ibni Abas Radiallahu-Anhuma, bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam telah bersabda:  Khabarkanlah kepada mereka bahawa Allah telah mewajibkan ke atas mereka sedekah (zakat) bagi harta-harta mereka, yang dikutip daripada orang-orang kaya di kalangan mereka dan diagihkan kepada orang-orang miskin di kalangan mereka.  (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Allah Subhanahu Wataala telah menunaikan rezeki setiap hamba-hambanya, ada yang diberi kekayaan dan hidup dalam kesenangan dan ada pula yang dikurniakan hidup dalam kemiskinan dan kesusahan, sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Nahl, ayat 71:-

Tafsirnya:
Dan Allah telah melebihkan sebahagian dari kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki yang dikurniakannya.

Oleh sebab itu, di antara hikmah Allah memberi kekayaan, kesenangan dan kemewahan kepada hamba-hambanya ialah supaya hamba-hambanya yang dikurniakan kekayaan dan kesenangan itu tahu bersyukur dan bersedia membantu saudara-saudara mereka yang dalam kesusahan dan kurang berkemampuan.

Wahai kaum muslimin,
Ingatlah bahawa setiap amal ibadat seperti zakat yang kita kerjakan itu akan mendapat pahala dan ganjaran daripada Allah Subhanahu Wataala di samping hikmat-hikmatnya yang lain yang antaranya boleh mengelakkan seseorang itu daripada bersifat kedekut, bakhil dan tamak, ianya juga sebagai tanda syukur terhadap nikmat yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Perlu juga diingat bahawa kebahagiaan hidup belum tentu dapat dicapai dengan tunduk kepada harta, tetapi harta akan membahagiakan pemiliknya jika ianya dibelanjakannya pada jalan kebaikan dan diredhai Allah Subhanahu Wataala.  Sebagai umat Islam kita perlulah yakin bahawa dengan mengeluarkan zakat itu tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya akan menambah harta yang ada, bahkan akan mendatangkan keberkatan dan juga akan dapat membersihkan diri kita dari dosa-dosa. Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah At-Taubat, ayat 103:-

Tafsirnya:
Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan  mensucikan mereka dari akhlak yang buruk.

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya jika kewajiban berzakat itu dapat ditunaikan, setentunya akan dapat membantu meringankan beban kemiskinan dan kesusahan saudara-saudara Islam kita, dan juga sekurang-kurangnya akan dapat mengurangkan kadar jenayah dalam masyarakat.

Justeru itu adalah menjadi kewajipan umat Islam untuk mengeluarkan zakat kerana taat dan patuh kepada Allah Subhanahu Taala, merasa rendah hati, ikhlas dan berlapang dada tanpa ada paksaan kerana zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang lima.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Saba’, ayat 39:-

Tafsirnya:
Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya tuhanku meluaskan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakinya di antaranya hamba-hambanya dan ia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||