PERBUATAN
MEMINTA-MINTA
Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala
dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya,
dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Huud, ayat 6:
Tafsirnya:
Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi
melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat
kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (Luh
Mahfuz) yang nyata kepada malaikat-malaikat yang berkenaan.
Dari
ayat tersebut jelas menunjukkan bahawa setiap makhluk Allah Subhanahu
Wataala yang hidup di muka bumi ini telah dijanjikan bahawa Allah
Subhanahu Wataala yang akan menanggung rezekinya. Namun demikian kita
janganlah pula menyalah ertikan maksud ayat tersebut dengan fahaman bahawa
Allah melarang kita daripada berusaha mencari rezeki kerana di dalam Surah
Al-Jumu’ah, ayat 10, Allah Subhanahu Wataala berfirman:
Tafsirnya:
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi
untuk menjalankan urusan masing-masing dan carilah apa yang kamu hajati
dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak dalam
segala keadaan supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Perlu diingat bahawa setelah kita bekerja dan berusaha dengan
bersungguh-sungguh untuk mendapatkan rezeki, tetapi keadaan kita masih
juga berada dalam keadaan yang sama, maka janganlah mengeluh dan berputus
asa. Tetapi teruskanlah berusaha dan bekerja bersungguh-sungguh kerana
setiap kejadian yang dijadikan oleh Allah Subhanahu Wataala itu ada
hikmatnya. Alllah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Asy-Syuraa, ayat
27:
Tafsirnya:
Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambanya, nescaya mereka
akan melampaui batas di bumi dengan perbuatan-perbuatan liar durjana, akan
tetapi Allah menurunkan rezekinya itu menurut kadar yang tertentu
sebagaimana yang dikehendakinya. Sesungguhnya ia mengetahui dengan
mendalam akan segala keadaan hambanya, lagi melihat dengan nyata.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Walau pun seseorang itu ditakdirkan Allah Subhanahu Wataala dalam keadaan
miskin atau fakir, tetapi agama Islam melarang umatnya untuk berserah
kepada takdir semata-mata, bahkan memerintahkan umatnya supaya berusaha
mencari rezeki. Ini bererti Islam melarang umatnya untuk meminta-minta.
Sabda
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:
Maksudnya:
Dari Imran bin Husain, katanya: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam: Sesungguhnya Allah menyayangi hambanya yang beriman, yang
miskin, yang tidak suka meminta-minta sedangkan dia mempunyai anak yang
ramai. (Riwayat
Al-Imam Ibnu Majah).
Sidang
Jumaat sekalian,
Cubalah perhatikan betapa orang yang terang kemiskinannya dan kepapaannya
pun dilarang meminta-minta, maka apatah lagi orang yang berada. Seorang
Islam hendaklah sentiasa bersyukur dan redha ke atas rezeki yang
dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepadanya. Allah melarang
hamba-hambanya bersifat tamak apatah lagi terhadap harta benda orang lain.
Allah juga melarang mereka bersifat haloba iaitu mencari harta dengan apa
jua cara tanpa mengira halal haramnya.
Dalam
Islam perbuatan meminta-minta tanpa hajat darurat yang dibolehkan oleh
Islam hukumnya haram, walau bagaimanapun hukumnya menjadi harus jika dalam
keadaan terpaksa dan darurat seperti seorang yang sangat lapar kerana
bimbang jika tidak mendapat makanan dengan segera, mungkin dia akan jatuh
sakit atau mati. Begitu juga orang yang tidak mempunyai sebarang pakaian,
untuk menutup auratnya, keadaan seumpama ini mengharuskan seseorang itu
meminta kepada orang lain, ini pun jika si peminta itu tidak berkuasa
membuat sesuatu pekerjaan untuk menyara hidupnya. Andai kata dia berupaya
untuk bekerja tetapi bersikap malas, maka pada ketika itu tidaklah harus
meminta kepada orang lain.
Muslimin
yang berbahagia,
Oleh yang demikian, kita sebagai umat Islam hendaklah mengelakkan diri
daripada perbuatan meminta-minta, sebaliknya menjaga maruah dan kehormatan
diri dengan berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki yang dikurniakan
Allah Subhanahu Wataala di muka bumi ini. Sama-samalah kita berdoa
mudah-mudahan Allah memurahkan rezeki ke atas kita. Amin Yaa Rabbal
‘Aalamin.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba’, ayat 39:
Tafsirnya:
Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambanya, dan ia juga yang
menyempitkan baginya, dan apa sahaja kamu dermakan maka Allah akan
menggantikannya, dan dialah juga sebaik-baik pemberi rezeki.