Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

15 Ramadhan 1425/29 Oktober 2004

MENGHORMATI DAN MEMULIAKAN AL-QURAN


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat sekalian,
Ramadhan adalah bulan yang mulia, bulan yang penuh dengan keberkatan. Sesiapa yang beramal ibadat di dalamnya akan mendapat pahala yang berlipat ganda. Di bulan ini berlaku beberapa peristiwa penting dan bersejarah, antaranya kitab suci Al-Quran diturunkan yang juga dikenali sebagai Nuzul Al-Quran. Al-Quran kitab yang agung lagi mulia sebagai panduan kepada umat Islam yang meminpin dan membawa petunjuk dan kebenaran kepada umat manusia.

Di dalam Al-Quran termaktub wahyu Allah Subhanahu Wataala sebagai panduan dan pedoman kepada manusia, kerana itulah umat Islam digalakkan supaya membaca Al-Quran, baik di kala senang ataupun susah, di kala gembira ataupun berduka, kerana ia amalan yang sangat mulia dan akan mendapat ganjaran pahala yang berlipat ganda dan di akhirat nanti orang yang membaca Al-Quran itu akan mendapat syafaat (pertolongan) daripada bacaannya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Faathir, ayat 29:

Tafsirnya:
Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Al-Quran dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara berterang-terang, mereka dengan amalan yang demikian mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya:
Dari Ibni Umamah Al-Bahili berkata: Aku telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Bacalah oleh kamu Al-Quran kerana sesungguhnya Al-Quran itu akan datang pada hari kiamat memberi syafaat (pertolongan) kepada pembacanya. (Riwayat Al-Imam Muslim)

Untuk pengetahuan para jemaah sekalian, pahala dan berkat bukan hanya akan diperolehi oleh mereka yang membaca Al-Quran, tetapi juga akan diperolehi oleh orang yang mendengar bacaan Al-Quran. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-‘Aaraaf, ayat 204:

Tafsirnya:
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah supaya kamu beroleh rahmat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam hal ini, perlu diingat apabila Al-Quran dibacakan terutamanya di majlis-majlis peraduan Al-Quran, Tadarus Al-Quran, Khatam Al-Quran dan sebagainya, adalah elok kita diam dan mendengar bacaan Al-Quran agar kita dapat menghayati dan memahami maksud yang terkandung di dalamnya. Perbuatan sedemikian adalah dikira ibadat dan akan mendapat pahala dari Allah Subhanahu Wataala.

Orang yang membaca Al-Quran itu terbahagi kepada dua: Pertama, membaca Al-Quran tanpa mengetahui makna dan ertinya. Kedua, membacanya dan sekaligus memahami isinya. Namun demikian keistimewaan Al-Quran itu, sama ada kita baca dengan memahami ataupun tidak, ia tetap menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Akan tetapi, membaca Al-Quran dengan memahami isinya setentunyalah lebih berfaedah dan mendatangkan kesan, kerana dapat menghayati nilai-nilai dan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran itu.

Al-Quran kitab yang cukup lengkap, mengajak manusia mentauhidkan Allah Subhanahu Wataala, dan berakhlak mulia. Di dalamnya juga terdapat hukum-hakam dan peraturan melarang manusia berbuat perkara buruk dan keji. Oleh itu sesiapa yang berpegang dengannya akan selamat di dunia dan di akhirat.  Sesungguhnya Al-Quran itu adalah perlembagaan hidup bagi umat Islam.

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Memandangkan kedudukan Al-Quran semulia-mulia kitab, maka wajiblah dihormati dan dimuliakan menurut apa yang telah diajarkan:

  • Apabila menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat) Al-Quran hendaklah dalam keadaan suci dan berwudhu’.

  • Tidak meletakkan Al-Quran di tempat yang tidak sepatutnya seperti berselerak di merata tempat sehingga terdedah kepada najis burung dan cicak.

  • Al-Quran hendaklah diletakkan di tempat yang terhormat dan jangan diletakkan sesuatu apa pun di atasnya.

  • Ketika membacanya letakkanlah di atas sesuatu seperti rihal, bukan di atas lantai.

  • Jangan dijadikan Al-Quran sebagai bantal dan alat bersandar, dan apabila memberikannya kepada seseorang janganlah dilemparkan.

  • Tidak meletakkan atau menyelitkan apa-apa benda di dalam Al-Quran.

  • Hendaklah menulis ayat Al-Quran dengan tulisan yang cantik dan dilarang menulisnya dipermukaan tanah.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kehidupan sehari-hari penuntut-penuntut sekolah adalah terdedah kepada kitab-kitab agama termasuk Al-Quran. Oleh itu, para guru dan ibu bapa hendaklah mengambil perhatian dan memahamkan anak-anak atau penuntut-penuntut cara menghormati dan memuliakan Al-Quran. Jangan sampai Al-Quran yang dimuatkan di dalam beg mereka diletakkan di atas lantai dan kusyen kereta sehingga menjadi tempat bersandar dan lebih buruk lagi sehingga terpijak dan dilangkahi.

Demi menjaga kesucian Al-Quran dan agama Islam, maka adalah menjadi kewajipan kita umat Islam supaya menjaga dan menghoramti ayat-ayat Al-Quran yang ditulis pada surat-surat khabar, kad-kad jemputan atau seumpamanya.  Janganlah dibuang atau dicampakkan di merata tempat dan dijadikan pembungkus barang, alas kaki, alas duduk, dan sebagainya yang boleh menghina kemuliaan ayat Al-Quran.

Sidang Jumaat sekalian,
Di samping kita memperkatakan tentang kesucian dan kelebihan Al-Quran, elok juga kita mengambil ingatan bahawa di bulan Ramadhan ini terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatulqadar. Sebahagian besar ulama’ mengatakan bahawa Lailatulqadar itu berlaku pada sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan. Di antara sepuluh malam terakhir inilah dijangkakan berlakunya Lailatulqadar dan kemungkinan besar ia berlaku pada malam-malam ganjil iaitu sama ada pada malam ke 21 atau 23 atau 25 atau 27 atau 29, ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya:
Dari Abi Salamah ia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Carilah Lailatulqadar pada malam-malam yang ganjil pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Qadr, ayat 1 – 5:

Tafsirnya:
Sesungguhnya kami telah menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang kebesaran malam Lailatulqadar itu?. Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun Malaikat dan Jibril dengan izin tuhan mereka, kerana membawa segala perkara yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut. Sejahteralah malam yang berkat itu hingga terbit fajar.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||