Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

22 Ramadhan 1425/05 November 2004

ZAKAT FITRAH


Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Sidang Jumaat sekalian,
Agama Islam adalah agama yang lengkap dan mancakupi semua aspek kehidupan umat Islam. Di antara fokus utama dalam agama Islam ialah mewujudkan kemakmuran, kesejahteraan dan kestabilan hidup dalam masyarakat.  Bagi mencapai matlamat tersebut, agama Islam telah menyediakan strategi yang begitu teratur iaitu mewajibkan zakat kepada umatnya dengan mengeluarkan sebahagian harta atau bahan makanan yang utama menurut ketentuan dan ukuran yang ditentukan oleh hukum syara’.

Zakat adalah salah satu rukun Islam yang wajib ditunaikan bagi mereka yang mencukupi syarat-syaratnya, dan adalah berdosa jika tidak menunaikannya.  Manakala barangsiapa yang ingkar akan ketetapan hukum mengeluarkan zakat itu boleh menyebabkannya terkeluar daripada agama Islam (Murtad).

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah, ayat 103:-

Tafsirnya:
Ambillah sebahagian dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya engkau membersihkan mereka dari dosa dan mensucikan mereka dari akhlak yang buruk.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Mengikut kitab fiqh bahawa zakat itu terbahagi kepada dua bahagian, pertama zakat harta, kedua zakat fitrah. Zakat harta ialah nama bagi harta yang tertentu, menurut syarat-syarat yang ditentukan dan diberikan kepada orang-orang yang berhak menerimanya.

Zakat fitrah pula ialah mengeluarkan sebahagian dari makanan yang utama (asasi) menurut ukuran yang ditentukan oleh syara’, setiap akhir bulan Ramadhan pada setiap tahun. Walau bagaimanapun tidaklah menjadi kesalahan jika zakat fitrah itu dikeluarkan dari awal bulan Ramadhan.

Zakat fitrah wajib ke atas setiap orang Islam, sama ada lelaki atau perempuan, tua atau muda, hamba atau merdeka. Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Daripada Ibnu Umar Radiallahu-Anhuma dia berkata: Telah mewajibkan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam zakat fitrah satu cupak dari tamar atau satu cupak dari sya’ir (sejenis gandum) ke atas hamba sahaya dan orang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak dan orang tua dari segenap orang Islam.
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dalam kesempatan ini, elok juga diterangkan mengenai pembayaran zakat firtah bagi penuntut-penuntut yang belajar di luar negeri, anak luar nikah dan pembantu rumah. Pembayaran zakat fitrah bagi penuntut-penuntut yang belajar di luar negeri, hendaklah dikeluarkan oleh penuntut itu sendiri di mana dia berada, bukan dikeluarkan oleh ibu bapanya. Ini adalah disebabkan mereka boleh menanggung dirinya sendiri iaitu dengan elaun yang diterimanya daripada kerajaan atau lain-lain agensi atau melalui peruntukan kewangan daripada ibu bapa mereka. Perlu juga diingat bahawa memindahkan zakat ke tempat lain, adalah tidak diharuskan melainkan dengan syarat-syarat yang tertentu.

Zakat fitrah bagi anak luar nikah pula adalah wajib dikeluarkan oleh ibunya, kerana nafkah anak berkenaan adalah di bawah tanggungan ibunya. Sementara pembantu rumah pula, zakat fitrahnya adalah wajib ke atas diri mereka, kerana mereka mempunyai pekerjaan dan pendapatan setiap bulan yang boleh menanggung diri mereka.

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Zakat fitrah diwajibkan mempunyai banyak rahsia dan hikmah, di antaranya untuk menambal kekurangan-kekurangan atau kecacatan yang tidak diketahui atau tidak sengaja semasa melakukan ibadat puasa, seperti melakukan perbuatan-perbuatan yang dilarang oleh Islam misalnya terlanjur mengeluarkan kata-kata yang keji, memaki orang, dan sebagainya.

Inilah salah satu rahsia kenapa agama Islam memerintahkan umatnya supaya mengeluarkan zakat fitrah, iaitu bagi mensucikan jiwa orang yang berpuasa dan menampal kekurangan-kekurangan yang dilakukan semasa berpuasa.

Dari sudut kemasyarakatan pula, zakat fitrah boleh menimbulkan sifat bantu-membantu, tolong-menolong, melahirkan rasa kasih sayang, kegembiraan dan keharmonian di dalam masyarakat, khususnya terhadap fakir miskin dan orang yang berhajat padanya.

Sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Daripada Ibni Abbas Radiallahu-Anhuma, dia berkata:  Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mewajibkan zakat firtah untuk mensucikankan orang yang berpuasa
daripada kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang keji dan untuk memberi makan golongan yang miskin.  (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Ahli Jumaat sekalian,
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa Hari Raya adalah hari kemenangan dan kegembiraan bagi umat Islam. Tetapi adakah kegembiraan tersebut dapat dirasai oleh orang-orang miskin sedangkan mereka tidak mempunyai makanan yang cukup apatah lagi yang lazat-lazat dan tidak mempunyai pakaian yang cantik-cantik. Maka dengan adanya zakat fitrah yang mereka terima itu sedikit sebanyak akan meringankan bebanan mereka dan sekurang-kurangnya akan memenuhi hajat yang diperlukan. Mudah-mudahan mereka juga akan sama-sama merasakan kenikmatan dan kebahagiaan berhari raya itu.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah At-Taubah, ayat 60:-

Tafsirnya:
Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk dibelanjakan pada jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan.  Ketetapan hukum yang demikian itu ialah sebagai satu ketetapan yang datang dari Allah.  Dan ingatlah Allah maha mengetahui lagi maha bijaksana.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||