Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

04 Rejab 1425/20 Ogos 2004

MENZIARAHI ORANG SAKIT


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara yang semestinya saling cinta mencintai dan kasih mengasihi antara satu sama lain, kerana ianya merupakan salah satu kesempurnaan iman. Islam menganjurkan beberapa amalan yang boleh kita lakukan bagi mengeratkan lagi tali persaudaraan sesama Islam seperti menziarahi saudara-saudara kita yang sedang sakit.

Menziarahi orang sakit hukumnya adalah Sunat Muakkadah. Dan ianya merupakan amalan yang disukai Allah Subhanahu Wataala dan baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam. Menziarahi orang sakit adalah merupakan salah satu tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh orang Islam terhadap saudaranya sesama Islam yang sedang sakit. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda sebagaimana hadith baginda:-

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu dia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Hak seorang muslim ke atas seorang muslim yang lain ada lima perkara: Iaitu menjawab salam, menziarahi orang yang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri undangan dan mendoakan orang bersin (Mengucap Yarhamukallah).
(Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Adapun galakan menziarahi orang sakit itu bukan hanya terbatas kepada keluarga sahaja, bahkan menyeluruh kepada sesiapa sahaja baik sahabat handai, jiran tetangga dan lain-lain.

Ahli Jumaat sekalian,
Sesungguhnya amalan menziarahi orang sakit itu banyak hikmahnya dan fadilatnya kerana dengan demikian akan menggukuhkan tali persaudaraan sesama Islam, melahirkan rasa kasih sayang dan sifat belas kasihan, dan mendatangkan keinsafan dan dorongan untuk bertaubat, ingat kepada kematian dan seterusnya sentiasa ingat kepada Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala menjanjikan ganjaran yang besar bagi mereka yang menziarahi orang yang sakit, ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Ali Radiallahu-Anhu ia berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada seorang muslim itu melawat seorang muslim yang sakit pada waktu pagi melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu petang dan tiada dia melawatnya pada waktu petang, melainkan meminta ampun untuknya tujuh puluh ribu malaikat hingga waktu pagi, dan adalah baginya kebun tempat memetik buah-buahan di dalam syurga.  (Riwawat Al-Imam At-Tarmizi).

Ketika menziarahi orang sakit, terdapat beberapa adab-adab yang dianjurkan oleh Islam, antaranya:-

Pertama: Apabila kita menziarahi orang sakit, janganlah duduk terlalu lama, kerana dikhuatiri boleh mengganggunya dan menghalang pergerakannya. Tetapi jika dengan ziarah itu boleh mententeramkan hatinya, maka tidaklah makruh duduk lama di sisinya.

Kedua: Adalah elok bagi orang yang menziarahi orang sakit itu bertanya keadaannya sambil meletakkan tangannya di atas dahi atau tangan pesakit tersebut asalkan dilakukan tidak bertentangan dengan hukum syara’.

Ketiga: Jika orang yang sakit itu dalam keadaan tenat dan tidak boleh bercakap apa-apa, maka disunatkan bagi orang yang berziarah itu bertanya kepada ahli keluarga tentang keadaannya.

Keempat: Apabila berada di sisi orang sakit, maka disunatkan menyuruhnya bersabar dan hendaklah menyenangkan serta mententeramkan hatinya.

Kelima: Ketika menziarahi orang sakit ataupun semasa berada di tempat lain pada bila-bila masa, maka disunatkan mendoakan pesakit tersebut supaya lekas sembuh.

Keenam: Andaikata orang yang sakit itu dalam keadaan tenat, tiada harapan untuk sembuh atau dalam keadaan nazak (muhtadhar) maka sunat bagi orang yang menziarahinya lebih-lebih lagi orang yang akrab dengan pesakit mengajarkan atau mentalkinkan (membacakan) ditelinganya kalimah “La Ilaha Illallah” sekali sahaja. Kemudian diperhatikan keadaan pesakit itu, jika didapati ia di dalam keadaan tenang (mendengar apa yang diucapkan) maka dibiarkan dia iaitu tidak ditalkinkan lagi kalimah “La Ilaha Illallah” itu. Walaubagaimana pun jika pesakit itu nampak menggelisah atau masih bercakap-cakap atau menuturkan perkara-perkara lain selain daripada kalimah tauhid maka diulangi lagi talkin tersebut sekali lagi, mudah-mudahan matinya nanti di akhiri dengan menyebut kalimah “La Ilaha Illallah” sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Muaz bin Jabal ia berkata, sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Barangsiapa yang akhir kalamnya “La Ilaha Illallah”
maka ia akan dimasukkan ke dalam syurga. (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Ketujuh: Sunat dibacakan di sisi orang yang hampir meninggal dunia itu surah Yaasin sebagaimana juga disunatkan membaca surah Ar Ra'd.

Wahai kaum muslimin,
Jika kita menziarahi orang sakit yang dimasukkan ke hospital, maka peraturan yang dikenakan oleh pihak yang berkenaan hendaklah dipatuhi. Peraturan seperti mengikut jadual masa lawatan dan larangan membuat bising adalah semata-mata untuk keselesaan dan kesejahteraan pesakit agar mereka dapat rehat yang mencukupi dan Insya-Allah menolong meringankan pesakit agar mereka cepat sembuh. Manakala larangan untuk tidak membawa kanak-kanak kecil di bawah umur lapan tahun semasa melawat adalah untuk melindungi anak-anak dari dijangkiti penyakit-penyakit yang merbahaya.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Amalan berziarah khususnya menziarahi orang sakit banyak memberikan pengajaran yang berfaedah untuk kita yang masih sihat dan hidup ini. Oleh yang demikian jadikanlah amalan berziarah ini sebagai budaya kita umat Islam kerana ia mencerminkan perpaduan umat Islam.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hujuraat, ayat 10:-

Tafsirnya:
Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||