Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

11 Rejab 1425/27 Ogos 2004

HIKMAH PERKAHWINAN


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat sekalian,
Sebagaimana yang kita telah dimaklumkan bahawa Istiadat Perkahwinan Diraja tidak lama lagi akan dilangsungkan. Istiadat berkenaan merupakan detik bersejarah bagi Negara Brunei Darussalam yang tidak akan dapat dilupakan oleh generasi sekarang dan akan menjadi ristaan sepanjang zaman.

Pernikahan atau perkahwinan adalah salah satu sunnah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, sebagaimana hadith baginda:

Maksudnya:
Dari Aisyah Radiallahu-Ahna ia berkata: Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Perkahwinan itu adalah sunnahku, sesiapa yang tidak suka mengikut sunnahku maka bukanlah dia dari golongan umatku. 
(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Muslimin yang dirahmati Allah,
Begitulah lumrah alam, setiap yang dijadikan Allah Subhanahu Wataala itu berpasang-pasangan, sebagaimana yang berlaku ke atas manusia, dijadikan ada lelaki dan ada perempuan.  Hidup berpasangan ini adalah di antara sebesar-besar nikmat Allah Subhanahu Wataala kepada manusia dan juga makhluknya yang lain.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Yaasin, ayat 36:

Tafsirnya:
Maha suci Allah yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan, sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi atau dari diri mereka ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

Wahai kaum muslimin,
Perkahwinan itu mempunyai banyak hikmah di antaranya:

Pertama:  Untuk mengekalkan dan meneruskan zuriat manusia di muka bumi ini dan seterusnya meramaikan manusia, kerana baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan berbangga dengan umat baginda yang ramai di akhirat nanti.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:

Maksudnya:
Dari Ma’qal bin Yasar, dia berkata: Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Berkahwinlah kamu dengan wanita yang pengasih dan subur, kerana aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai. (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Kedua:  Untuk menjaga kehormatan diri.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya:
Dari Abdullah bin Mas’ud Radiallahu-Anhu ia berkata: Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda kepada kami: Wahai orang-orang muda!  Barangsiapa yang berkuasa antara kamu untuk berkahwin, maka berkahwinlah, sesungguhnya perkahwinan itu melembutkan pandangan dan menjaga kehormatan dan barangsiapa yang tidak mampu, kerjakanlah puasa kerana puasa itu boleh melembutkan syahwat. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Ketiga:  Memudahkan datangnya rezeki. 

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya:
Dari Aisyah Radiallahu-Anha, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta. (Riwayat Al-Imam Al-Bazzar).

Keempat:  Bertujuan untuk hidup bahagia dengan aman damai, berkasih sayang dan cinta mencintai.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ar-Ruum, ayat 21:

Tafsirnya:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatnya, bahawa ia menciptakan untuk kamu wahai kaum lelaki, isteri-isteri dari jenis kamu sendiri. Supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu suami isteri perasaan kasih sayang dan belas kasihan.  Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan yang menimbulkan kesedaran bagi orang-orang yang berfikir.

Kelima: Untuk menambah kaum kerabat, memperhubungkan Silaturrahim antara satu dengan lain.

Muslimin yang berbahagia,
Bersempena dengan kita meraikan Istiadat Perkahwinan Diraja ini, marilah kita sama-sama menadah tangan kehadrat Allah Subhanahu Wataala, mendoakan agar diberkati dan mendapat perlindungan Allah Subhanahu Wataala. Amin Ya Rabbal-'Aalamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al Furqaan, ayat 74:

Tafsirnya:
Dan juga mereka yang diredhai Allah itu ialah orang-orang yang berdoa dengan berkata: “Wahai tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan menjadikan kami imam ikutan bagi orang-orang yang mahu bertakwa.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||