Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

19 Safar 1425/09 April 2004

UKHUWAH ISLAMIAH

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam surah Al-Hujarat, ayat 10 :-

Tafsirnya:
Bahawasanya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu yang bertelingkah itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.

Persaudaraan adalah antara nikmat yang amat berharga yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada orang-orang yang beriman. Apatah lagi bila kita mengingat kembali kepada asal usul kita iaitu Nabi Adam Alaihissalam  yang dijadikan daripada tanah. Ini menunjukkan bahawa kedudukan kita di sisi Allah Subhanahu Wataala adalah sama tanpa mengira bangsa, warna kulit, bangsa dan tempat sebagaimana yang terkandung dalam Khutbah Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ketika baginda mengerjakan Haji Wida’ bersama para sahabat baginda:-

Maksudnya:
Wahai sekalian manusia sesungguhnya tuhan kamu itu satu dan bapa kamu (Nabi Adam Alaihissalam) itu satu, sesungguhnya tidak ada kelebihan bagi orang Arab ke atas orang bukan arab dan tidak ada kelebihan bagi orang bukan arab ke atas orang arab, dan tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit cerah ke atas orang yang berkulit hitam, dan tidak ada kelebihan bagi orang yang berkulit hitam ke atas orang yang berkulit cerah kecuali takwa.  (Riwayat Al-Imam Ahmad)

Wahai kaum muslimin ketahuilah bahawa sesungguhnya yang membezakan antara kita ialah ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala.  Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Al-Hujaraat, ayat 13:-

Tafsirnya:
Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, sesungguhnya Allah maha mengetahui lagi maha mendalam pengetahuannya akan keadaan dan amalan kamu.

Sesungguhnya membina hubungan silaturrahim itu adalah amat penting kerana tidak ada siapa pun yang boleh hidup sendirian di dunia ini, sebaliknya memerlukan antara satu sama lain. Kerana itu agama Islam menegaskan kepada umatnya supaya membina hubungan silaturrahim baik sesama kaum kerabat, sahabat handai, jiran tetangga, teman sekerja mahupun kepada masyarakat sekeliling. Sesungguhnya orang yang dapat mengikat tali persaudaraan dengan rasa kasih sayang dan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, nescaya ia dapat merasa nikmat kebahagiaan serta nikmat ketenangan jiwa. Oleh itu elakkanlah hidup nafsu-nafsi dan mementingkan diri sendiri jika kita mahu hidup rukun damai, aman dan tenteram.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Untuk membina ikatan ukhuwah Islamiah itu bukanlah suatu yang sukar. Banyak cara yang boleh kita lakukan antaranya Islam mengajarkan supaya kita mengucapkan salam. Mengucap salam adalah suatu ucapan yang sangat mudah dilakukan tapi penuh dengan pengertian kerana ia dapat melahirkan kemesraan dan saling doa mendoakan, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  bersabda:-

Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu berkata : Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  bersabda: Kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan kamu tidak akan beriman selagi kamu tidak berkasih sayang.  Mahukah kamu aku tunjukkan suatu amalan jika kamu lakukannya nescaya kamu akan saling kasih-mengasihi ?  Amalkanlah memberi salam di antara satu sama lain di kalangan kamu.  (Riwayat Al-Imam Muslim)

Selain itu, kukuhkanlah ikatan ukhuwah dengan sikap suka saling bantu-menbantu, bergotong-royong, bertolak-ansur, hormat-menghormati, menepati janji, merendah diri dan tidak sombong, tidak menyakiti hati dan perasaan sesama kita baik dengan percakapan atau perbuatan sama ada cara sengaja atau tidak, menghadiri undangan jika dijemput, menjaga kehormatan dan menutup aib saudara kita dan sebagainya. Bahkan jika sekiranya saudara kita dilimpahkan rezeki yang lebih dari kita, maka hendaknya kita merasa syukur dan gembira, bukan sebaliknya iaitu merasa dengki dan benci sehingga menimbulkan perasaan tidak puas hati dan dendam. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda:-

Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  bersabda: Janganlah kamu berdengki-dengkian, dan janganlah kamu berbenci-bencian, dan janganlah kamu mengintip-intip dan berusaha mengetahui rahsia orang lain, dan janganlah kamu melakukan penipuan dalam berniaga dan jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara.

Wahai kaum muslimin,
Sebagai umat Islam yang beriman kita adalah berkewajipan untuk menegur dan menasihati sesama kita dalam usaha mencegah kemungkaran. Sungguhpun demikian, perbuatan menegur dan nasihat-menasihati itu bukanlah suatu perkara yang mudah dilaksanakan sebaliknya memerlukan kepada hikmah kerana jika silap langkah, boleh menimbulkan persengketaan dan bermasam muka. Dalam hubungan ini, bagi mengelakkan keadaan ini berlaku, kita hendaklah berpegang kepada Al-Quran dan Al-Sunnah yang mengajar kita supaya ingat-mengingati, nasihat-menasihati antara satu dengan yang lain. Bagi pihak yang menasihati, hendaklah menberikan nasihat itu dengan ikhlas kerana Allah Subhanahu Wataala, sementara pihak yang diberi nasihat pula, perlulah menghargai dan berterima kasih dan menerimanya dengan lapang dada.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali ‘Imran, ayat 104:-

Tafsirnya:
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan mengembangkan Islam, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah, buruk dan keji.  Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.

Saudara yang dikasihi sekalian,
Ketahuilah bahawa mengwujudkan persaudaraan yang baik sesama kita boleh mengukuhkan perpaduan masyarakat, khasnya kepada umat Islam sejagat.  Kerana dengan adanya kasih sayang dan sikap pemedulian dalam jiwa sahajalah, kita akan merasa senang dan mudah untuk menghulurkan bantuan baik berupa harta benda, tenaga mahupun fikiran, sama ada bagi saudara yang dekat mahupun yang jauh dan di mana jua mereka berada.  Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam :-

Maksudnya:
Dari Anas bin Malik Radiallahu-Anhuma. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam  bersabda: Barangsiapa yang suka diperluaskan rezekinya, dan dipanjangkan umurnya, maka sambunglah hubungan silaturrahim.  (Riwayat Al-Imam Bukhari)

Akhirnya, marilah kita sama-sama menjaga dan memelihara serta mempereratkan tali silaturrahim kita, dengan demikian mudah-mudahan kesatuan umat Islam akan kukuh dan disegani bahkan tidak mudah dikalahkan dan ditindas oleh orang lain.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam surah Ali ‘Imran, ayat 103:-

Tafsirnya:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (Agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmah Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan semasa jahiliah dahulu, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam.  Maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah.  Lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu disebabkan nikmat Islam juga. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangannya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahnya.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||