Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

02 Syaaban 1425/17 September 2004

SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU


Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat sekalian,
Di dalam Islam, menuntut ilmu itu adalah merupakan suatu kewajipan kepada setiap orang Islam. Ini jelas sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Anas bin Malik, dia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Menuntut ilmu adalah satu kefardhuan (wajib) ke atas setiap muslim.
(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah)

Dalam usaha menyebarluaskan ilmu pengetahuan, sememangnya memerlukan tenaga yang berkemahiran dan berkebolehan. Tugas ini bukanlah suatu yang mudah dan boleh dikerjakan oleh semua orang.

Justeru itu, nadi penggerak ke arah tujuan suci itu ialah para guru, pendidik dan ilmuan. Kerjaya tersebut merupakan suatu ibadat kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana itulah Allah Subhanahu Wataala mengangkat kedudukan orang yang berilmu dan masyarakat pula memandang mulia serta menyanjung tinggi tugas tersebut. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Mujaadilah, ayat 11:-

Tafsirnya:
Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat.

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Tanggungjawab dan peranan guru itu amat mencabar yang memerlukan persediaan yang cukup, kerana guru berfungsi membina pelajaran atau warga muda menjadi hamba Allah yang patuh dan taat demi memenuhi cita-cita negara, bangsa dan agama.

Tetapi adakah semua itu akan menjadi kenyataan tanpa memiliki ilmu?  Sudah setentunya tidak. Oleh yang demikian, para guru harus menyedari perkara tersebut dan berusaha untuk menambah ilmu pengetahuan mereka dari masa ke semasa.

Perlu kita sedari bahawa ilmu yang ada pada diri kita hanya sedikit. Ini jelas sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Kahfi, ayat 109:-

Tafsirnya:
Katakanlah wahai Muhammad, kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimah-kalimah tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimah-kalimah tuhanku, walaupun kami tambahi lagi dengan lautan yang sebanding dengannya sebagai bantuan.

Dari ayat tersebut, jelas menunjukkan bahawa ilmu itu sangat luas dan banyak yang perlu diterokai dan dicari. Maka jalan terbaik dan berkesan untuk meluaskan ilmu pengetahuan ialah dengan belajar dan membaca buku-buku bermanfaat dan mengandungi nilai-nilai murni dan terpuji.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-'Alaq, ayat 1 – 5:-

Tafsirnya:
Bacalah wahai Muhammad dengan nama tuhanmu yang menciptakan sekalian mahkluk. Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku.  Bacalah , dan tuhan mu yang pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Usaha guru ke arah meluaskan pemikiran dan pengetahuan akan dapat meningkatkan taraf guru itu sendiri. Para guru yang berilmu dan berwibawa akan dapat membentuk generasi cemerlang dan gemilang, beriman dan bertakwa, bermoral dan terpuji, mampu mempertahankan jati diri orang Brunei dan sentiasa mendapat petunjuk Allah Subhanahu Wataala.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Memandangkan kedudukan guru itu sangat mulia, maka sewajarnyalah dihormati.  Bayangkan, Saiyidina Ali Radiallahu-Anhu sendiri pernah berkata:-

Maksudnya:
Aku ini hamba kepada sesiapa yang mengajarku walaupun satu huruf.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya:
Dari Qais bin Katsir, ia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sesungguhnya orang yang berilmu (Ulama) itu adalah pewaris nabi-nabi. (Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Oleh itu kepada pelajar-pelajar hendaklah menghormati para guru dengan menjaga tingkat laku dan keulahan mereka. Di antara tatatertib tersebut ialah:-

  • Pelajar hendaklah mendahului memberi salam apabila bertemu dengan gurunya.

  • Jangan membantah guru dengan kasar.

  • Pelajar hendaklah menjaga maruah guru, dan jangan mengungkit-ungkit perkara remeh dan ingin mencari kesilapan guru.

  • Hendaklah berlaku sopan dan bertata-tertib apabila bertemu guru demi mendapatkan keberkatan ilmu pengetahuan yang dipelajari.

Sidang Jumaat sekalian,
Sempena Sambutan Hari Guru yang akan diraikan pada 23 September 2004, sama-samalah kita memperingati hari bersejarah ini dengan berdoa kehadrat Allah Subhanahu Wataala  agar mereka yang telah mendidik kita baik dari kalangan ibu bapa mahupun para guru mendapat rahmat dan pertolongan Allah Subhanahu Wataala, kerana jasa merekalah kita menjadi pandai dan berilmu, dan menjadi manusia yang berguna.

Bagi para guru yang telah kembali ke rahmatullah, sama-samalah kita mendoakan semoga roh mereka dicucuri rahmat oleh Allah Subhanahu Wataala.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Az-Zumar, ayat 9:-

Tafsirnya:
Katakanlah: Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||