Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

23 Syaaban 1425/08 Oktober 2004

KEDATANGAN BULAN RAMADHAN


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Tidak lama lagi kita akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia. Sebagai umat Islam, kita wajib bersyukur kepada Allah Subhanahu Wataala kerana masih memberi kita peluang untuk menemui bulan yang mubarak yang penuh keberkatan ini untuk melakukan ibadat puasa dan seterusnya melakukan ibadat-ibadat lain yang ganjaran pahalanya berlipat ganda di sisi Allah Subhanahu Wataala.

Sesungguhnya Ramadhan itu adalah bulan yang tinggi darjatnya dan besar mertabatnya di sisi Allah Subhanahu Wataala, dan ia juga merupakan penghulu segala bulan. Allah Subhanahu Wataala telah memuliakan bulan Ramadhan di mana pada bulan tersebut Allah Subhanahu Wataala telah menurunkan kitab suci Al-Quran pada malam 17 Ramadhan dan mengurniakan satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam Lailatul-Qadar. Terdapat banyak hadith yang menceritakan tentang kelebihan bulan Ramadhan, antaranya sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu ia berkata: Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Apabila masuk bulan Ramadhan, akan dibuka pintu-pintu langit, dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari).

Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya dalam mengerjakan ibadat puasa itu, terdapat tata-tertib yang sepatutnya kita jaga, agar puasa yang dilakukan akan menjadi lebih sempurna dan mendapat berkat serta mencapai maksud puasa yang sebenar.

Di antara tata-tertib itu ialah memelihara lidah daripada bercakap perkara yang sia-sia, tidak berdusta, tidak mencaci orang, tidak mengadu domba, tidak memfitnah dan sebagainya, begitu juga kita hendaklah menjaga mata dan telinga daripada melihat atau mendengar sesuatu yang boleh mendatangkan dosa. Sebaliknya anggota dan pancaindera itu digunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah dengan melakukan amal ibadat bagi meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala lebih-lebih lagi ketika berada dalam bulan Ramadhan seperti membaca Al-Quran, membanyakkan zikir dan doa, membaca kitab-kitab agama, mendengar ceramah dan sebagainya.

Setiap orang yang berpuasa itu hendaklah memelihara diri dari berbuat dosa dan maksiat, serta menjauhkan segala urusan yang sia-sia dan tidak berfaedah jika mahu puasanya sempurna dan tidak sia-sia, kerana betapa banyak orang yang berpuasa, berpenat lelah disebabkan lapar dan dahaga, dalam masa yang sama membiarkan anggotanya melakukan perbuatan dosa dan maksiat, semuanya ini boleh menyebabkan puasa seseorang itu menjadi rosak. Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Betapa ramai orang  yang berpuasa, tiada mendapat dari puasanya selain berlapar sahaja. (Riwayat Al-Imam Ahmad).

Ahli Jumaat sekalian,
Dalam ibadat puasa, kita juga hendaklah menjaga perut dari memakan benda-benda yang haram dan syubhat seperti memakan makanan yang diperolehi dari sumber pendapatan yang haram, kerana sesungguhnya ibadat puasa yang kita lakukan itu adalah semata-mata kerana Allah Subhanahu Wataala dan untuk mendapat taufik dan hidayahnya, maka adalah tidak wajar kita mencemarinya dengan melakukan perbuatan yang berdosa.

Manakala dalam penyediaan makanan pula, kita digalakkan untuk bersikap sederhana, tidak membazir sehingga tidak habis dimakan ataupun makan terlalu banyak sehingga terlalu kenyang.

Sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Miqdam bin Makdiikarib berkata: Aku mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada seorang anak Adam yang memenuhi sesuatu bekas yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah bagi anak Adam itu makan beberapa suap makanan untuk menguatkan tubuhnya. Kalau mesti juga tidak dapat dielakkan, maka isilah perut sekadar satu pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk bernafas. (Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).

Ahli Jumaat sekalian,
Sesungguhnya sikap sederhana itulah sebaik-baik cara bagi kita dapat merasakan kesan dan rahsia serta tujuan mengerjakan ibadat puasa itu iaitu untuk mendidik jiwa dan mengurangkan nafsu dan syahwat. Ini kerana berlapar dan mengosongkan perut itu dapat meninggalkan kesan yang baik untuk menerangi hati rohani serta menimbulkan semangat pada anggota badan untuk beribadat. Manakala kekenyangan itu punca segala kekerasan dan kelalaian hati dan boleh menimbulkan perasaan malas untuk beribadat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dengan kedatangan bulan Ramadhan ini, kita rebutlah peluang yang ada dan memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya, kita hendaklah menumpukan dan mempertingkatkan diri untuk beribadat kepada Allah Subhanahu Wataala sebanyak-banyaknya dengan berzikir, membaca Al-Quran, mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat dan sebagainya terutamanya sembahyang sunat tarawih dan sunat witir yang amat dituntut dan afdhal dilakukan secara berjemaah. Dalam mengerjakannya secara berjemaah, para imam hendaklah mengerjakannya secara sederhana iaitu tidak terlalu cepat dan tidak juga terlalu lambat, yang penting sembahyang itu dikerjakan dengan sempurna mengikut rukun-rukun dan sunat-sunatnya dan sah mengikut hukum syara'. Untuk pengetahuan kita bersama bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, apabila berada di bulan Ramadhan, baginda memperbanyakkan bersedekah, menyediakan makanan bagi saudara mara, jiran tetangga dan sahabat handai untuk berbuka puasa, contoh itulah yang patut diikut dan diamalkan. Mudah-mudahan latihan-latihan dan amalan-amalan yang kita lakukan di bulan Ramadhan itu akan diteruskan juga di bulan-bulan lain.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Baqarah, ayat 183:-

Tafsirnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, moga-moga kamu bertakwa.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||