Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

20 Syawal 1425/03 Disember 2004

AMALAN PERBOMOHAN


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat sekalian,
Dunia perbomohan sudah tidak asing lagi di kalangan masyarakat melayu kerana ia dianggap dapat membantu masyarakat menyelesaikan pelbagai masalah kehidupan, seperti merawat penyakit, mendapatkan barang hilang, inginkan pangkat, kedudukan, digeruni dan nampak hebat, ilmu penunduk isteri atau suami, ilmu pendinding, ilmu kebal, ilmu pembenci, ilmu pengasih, untuk mencari jodoh, mendapat nombor ekor dan bermacam-macam lagi.

Apa yang menjadi masalah ialah wujudnya amalan yang bertentangan dengan akidah dalam amalan perbomohan atau perdukunan yang dilakukan. Amalan perbomohan di kalangan masyarakat telah berlaku sejak dahulu hinggalah sekarang ini di mana ada yang sanggup berkorban wang ringgit dengan jumlah yang besar asalkan hajat yang dikehendaki tercapai meskipun apa yang diperintahkan dan dilakukan oleh bomoh bercanggah dengan akidah, syariat mahupun undang-undang sehingga ada pesakit yang tertipu dan dipukau oleh kelicinan tipu daya bomoh yang meyakinkan para pelanggannya.

Wahai kaum muslimin,
Terdapat banyak bukti adanya penyelewengan akidah dalam amalan perbomohan di negara ini, contohnya dalam satu kes, seorang bomoh yang menggunakan rawatan secara Islam pernah merawat seorang pesakit di negara ini. Sebelum melakukan rawatan bomoh tersebut meminta pesakit menanggalkan azimat yang terdapat dilengannya. Pesakit itu enggan menanggalkannya kerana azimat itu sangat mahal dan berharga iaitu bernilai $9,999.00. Kerana keengganannya menanggalkan, bomoh berkenaan tidak mahu merawatnya yang akhirnya memaksanya membuka azimat tersebut dan mendapati azimat itu hanyalah berupa biji buah rambutan.

Satu kes lagi seorang bomoh yang mengamalkan perbomohan secara Islam mendapati pesakit diberikan dua biji benda bulat seperti tumbung kelapa yang bersaiz kecil oleh bomoh sebelumnya. Sebiji berwarna hitam mengandungi 40 ekor jin kafir dan sebiji berwarna putih mengandungi 10 jin Islam. Kononnya untuk menjaga diri dan rumah. Ternyata pesakit di kedua-dua kes tadi telah diperdaya oleh bomoh untuk bergantung harap penjagaan diri dan rumah kepada benda-benda yang tidak mempunyai kuasa apa-apa.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Islam menegah penggunaan tangkal yang diiktiqadkan boleh memberikan kesan dan boleh menolak bala. Walau bagaimanapun tangkal yang ditulis dengan ayat-ayat Al-Quran atau zikir-zikir adalah harus di dalam Islam, tetapi perlu diingat janganlah mempercayai bahawa tangkal itu yang mempunyai kuasa kerana tiada sesuatu pun yang boleh memberikan manfaat dan mudarat melainkan Allah Subhanahu Wataala.

Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:- 

Maksudnya:
Dari Abdillah bin Mashud Radiallahu-Anhu katanya: Saya telah mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya jampi, tangkal dan ilmu pengasih itu adalah syirik.  (Riwayat Al-Imam Abu Majah).

Perbomohan adalah diharuskan dalam Islam dengan syarat amalan perbomohan itu mengikut cara yang telah ditetapkan dalam Islam dan tidak bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Di negara kita memang terdapat bomoh yang mengikut landasan Islam dan menggunakan ayat-ayat suci Al-Quran sebagai penawar, tetapi dalam masa yang sama terdapat juga sebilangan bomoh mengamalkan perbomohan yang salah dan bertentangan dengan ajaran Islam seperti menilik, menggunakan jampi-jampi, berturun dan sebagainya yang boleh membawa syirik.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Taha, ayat 69:-

Tafsirnya:
Ahli sihir itu tidak beroleh kejayaan di mana sahaja ia berada.

Sidang jumaat sekalian,
Kita telah diberikan pendedahan tentang berlakunya kes-kes penyelewengan akidah dalam amalan perbomohan melalui media massa, seminar, ceramah dan lain-lain lagi. Tetapi yang mengherankan bahkan mendukacitakan masih terdapat sebilangan yang mempercayai bomoh-bomoh tersebut walaupun sudah jelas penyelewengan yang mereka lakukan.

Sebagai peringatan dan pengetahuan orang ramai agar jangan sampai terpengaruh dan ditipu oleh bomoh-bomoh seumpama ini, maka di sini disebutkan di antara penyelewengan yang sering dilakukan oleh mereka seperti:-

  • Pemujaan terhadap satu-satu objek yang dianggap mempunyai kuasa luar biasa untuk memberi bantuan dan pertolongan yang dihajati.

  • Penggunaan jampi-jampi yang menyebutkan nama-nama selain daripada Allah dan tidak difahami maksudnya seperti “Lucu luci batang bertambah-tambah. Aku yang bersalah aku yang engkau sembah.  Aku yang berdosa aku yang engkau puji.” Walaupun sesetengah jampi berkenaan ada diselitkan beberapa ayat Al-Quran, namun ia tidaklah boleh diterima kerana ayat-ayat yang diselitkan itu tidak tepat sebutannya serta salah ejaan dan ditulis pula dengan huruf rumi. Di samping itu ungkapan-ungkapannya banyak yang tidak difahami dan meragukan, contohnya “Ja lika luman as iiyaa raaban” lebih menyimpang lagi apabila Allah dijadikan objek seperti makhluk, padahal Allah itu adalah sunyi daripada sebarang kekurangan seperti makhluk, contohnya “Allah yang dikunci” “Allah terbunuh baru aku terbunuh”.

Kaedah menyeleweng yang lain lagi ialah seperti:

  • Menggunakan bahan-bahan yang terlarang dan najis seperti menggunakan darah arnab untuk diminum.

  • Terdapat unsur-unsur penipuan seperti meminta bayaran yang ditetapkan harga dan nilainya serta permintaan pengkeras yang ditentukan. Jika tidak ditunaikan kononnya pesakit akan mendapat bala.

  • Melakukan perkara-perkara maksiat dan terkutuk seperti mencabuli pesakit-pesakit wanita. Terdapat juga dukun yang mengajak pesakitnya bernikah bathin dan mendakwa bahawa dengan cara ini sahaja yang dapat menyembuhkan pesakitnya.

  • Memohon kepada kuasa-kuasa ghaib yang dianggap boleh menyembuhkan dan memberi pertolongan kepadanya.

  • Larangan membaca ayat-ayat Al-Quran seperti Surah Yaasin ketika upacara pengobatan sedang dijalankan oleh bomoh berkenaan dan melarang dari menunaikan fardhu haji.

  • Mendakwa pandai menarik roh ke dalam badannya.

  • Meminta pesakit supaya menjunjung atau menyembah gambar-gambar yang didakwa gambar orang kayangan yang dianggap boleh menolong serta dapat menunaikan hajat seseorang dan akan dapat membawa ke syurga.

  • Mendakwa boleh mengetahui perkara-perkara ghaib seperti mengetahui bahawa pesakit itu dibuat orang (disihir) dan dapat pula diketahui pembuatnya atau mengetahui barang-barang tersebut dengan terperinci.

Semua bentuk ajaran dan amalan yang dinyatakan tadi jelas menyeleweng dari segi akidah dan boleh menyesatkan pengamalnya serta menimbulkan fitnah, dan ramalan-ramalan yang dilakukan boleh memecahbelahkan rumahtangga, keluarga dan masyarakat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Demi menjaga akidah umat Islam, khususnya bomoh yang mengamalkan perbomohan yang bertentangan dengan ajaran Islam serta mereka yang meminta khidmat bomoh tersebut, maka adalah menjadi kewajiban bagi kita umat Islam yang mengetahuinya memandu, membimbing dan memberikan kefahaman yang betul kepada mereka supaya menjauhi dan meninggalkannya.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Yunus, ayat 106:-

Tafsirnya:
Dan janganlah engkau wahai Muhammad menyembah atau memuja yang lain dari Allah, yang tidak dapat mendatangkan manfaat kepadamu dan juga tidak dapat mendatangkan mudharat kepadamu, oleh itu sekiranya engkau mengerjakan yang demikian, maka pada saat itu menjadilah engkau dari orang-orang yang berlaku zalim terhadap diri sendiri dengan perbuatan syirik itu.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||