IBADAT
KORBAN
Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala
dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya,
dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang
bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Sekarang kita sudah berada dalam bulan Zulhijjah atau bulan Haji. Ini
bererti tidak lama lagi kita akan meraikan hari Raya Haji. Hari Raya Haji
adalah hari yang mulia yang darjat atau kedudukannya lebih besar dan lebih
tinggi daripada hari Raya Fitrah. Ianya juga dikenali dengan Hari Raya
Korban kerana umat Islam disunatkan melakukan ibadat korban pada hari
tersebut dengan menyembelih binatang ternakan iaitu unta, lembu, kerbau
dan kambing, sebagai tanda syiar agama Islam.
Menyembelih
korban adalah amalan yang disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dan
hukumnya sunnat muakkadah. Ini dijelaskan oleh Rasulullah Sallallahu
Alaihi Wasallam dalam sabdanya:-
Maksudnya:
Dari Aisyah Radiallahu-Anha, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam
bersabda: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu
amal yang lebih disukai oleh Allah dari menumpahkan darah (menyembelih
korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya,
bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil
tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka
hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih. (Riwayat
Al-Imam At-Termizi)
Amalan
menyembelih korban itu juga sebagai bukti keikhlasan dan ketakwaan kita ke
atas perintah Allah Subhanahu Wataala. Ini jelas sebagaimana firman Allah
Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj, ayat 37:-
Tafsirnya:
Daging dan darah binatang korban itu tidak sekali-kali sampai kepada
Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang
berdasarkan takwa dari kamu.
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Kita sebagai manusia sememangnya tidak luput dari melakukan kesilapan dan
dosa yang kadang-kadang menyebabkan kita jauh dari Allah Subhanahu Wataala,
tetapi Allah maha pengasih lagi maha penyayang kepada hamba-hambanya. Dia
memberikan banyak jalan yang boleh mendekatkan diri kepadanya.
Salah satu jalannya ialah dengan melakukan ibadat korban.
Di
antara hikmat lain kenapa ibadat korban ini disyariatkan ialah:-
Pertama:
Untuk diambil iktibar dan pengajaran terhadap ketaatan Nabi Ibrahim
Alaihissalam dalam menjunjung perintah Allah Subhanahu Wataala yang
memerintahkannya untuk menyembelih puteranya Nabi Ismail Alaihissalam
sebagai korban. Akan tetapi Allah Subhanahu Wataala maha pengasih lagi
maha penyayang telah menggantikannya dengan seekor kibasy. Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda di dalam sebuah hadith baginda:-
Maksudnya:
Daripada Zaid bin Arqam Radiallahu Anhu dia berkata: Para sahabat
Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bertanya: Wahai Rasulullah, apakah
yang ada pada korban itu? Jawab Rasulullah: Ia adalah sunnah bapa kamu,
Ibrahim. Mereka bertanya: Apa yang kami perolehi daripadanya wahai
Rasulullah? Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai rambut ada kebajikannya,
mereka bertanya lagi: Bagaimana pula dengan bulunya wahai Rasulullah?
Rasulullah menjawab: Bagi setiap helai bulu ada kebajikannya.
(Riwayat Al-Imam Ibnu Majah).
Kedua:
Memupuk sikap pemedulian dan keperihatinan terhadap masyarakat iaitu
dengan mengagihkan daging-daging korban kepada yang berhak menerimanya
sebagai makanan dan meluaskan rezeki khususnya kepada para fakir miskin
sempena hari raya korban.
Ketiga:
Melahirkan tanda kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wataala terhadap nikmat
hidup yang telah diberikannya.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj, ayat 34:-
Tafsirnya:
Dan bagi tiap-tiap umat telah kami syariatkan penyembelihan korban supaya
mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur terhadap binatang ternak yang
telah direzekikan Allah kepada mereka.
Keempat:
Menyemai dan menanamkan sifat murni ke dalam diri dengan mencontohi
kesabaran dan ketabahan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail Alaihimassalam, dan
sifat mereka yang mengutamakan ketaatan dan rasa cinta kepada Allah
Subhanahu Wataala.
Muslimin
yang berbahagia,
Waktu menyembelih korban ialah selepas naik matahari pada hari Raya Adha
sekadar berlalu sembahyang dua rakaat dan dua khutbah. Masa korban itu
berkekalan sehingga terbenam matahari akhir hari tasyrik iaitu hari ke 13
Zulhijjah. Jika ibadat korban dilakukan sebelum dan selepas waktu tersebut,
maka tidaklah dikira ibadat korban, sebagaimana sabda Rasulullah
Sallallahu Alaihi Wasallam:-
Maksudnya:
Dari Al-Bara bin ‘Azib dia berkata: Telah bersabda Nabi Sallallahu
Alaihi Wasallam: Bahawa yang mula-mula kami lakukan pada hari ini (hari
raya adha), kami sembahyang, kemudian kami balik ke rumah, selepas itu
kami menyembelih korban, maka siapa yang membuat seperti yang demikian,
maka dia memperolehi sunnah (ibadat) kami, dan siapa yang menyembelih
sebelum sembahyang, maka yang demikian itu hanyalah daging biasa yang
dibahagi-bahagikan kepada keluarganya, bukanlah yang demikian itu termasuk
dalam ibadat korban. (Riwayat
Al-Imam Al-Bukhari).
Muslimin
yang dirahmati Allah,
Memandangkan ibadat korban itu mempunyai kelebihan dan masa yang tertentu,
maka bagi mereka yang berkemampuan dan dilimpahi rezeki oleh Allah
Subhanahu Wataala agar tidak akan melepaskan peluang untuk melakukan
ibadat korban, kerana ibadat ini amat dituntut dan tinggi nilainya di sisi
Allah Subhanahu Wataala.
Sebagaimana
yang para jamaah sekalian maklum bahawa tabong-tabong bantuan mangsa
tusnami telah ditempatkan di masjid-masjid, surau-surau, balai-balai
ibadat dan tempat-tempat yang ditentukan di seluruh negara. Maka inilah
peluang keemasan bagi kita memberi bantuan kepada mangsa-mangsa tersebut
yang benar-benar memerlukan bantuan dan pertolongan kita. Dan adalah
menjadi kewajipan kita bertolong-tolongan dalam membuat kebaikan, apatah
lagi terhadap mereka yang dalam kesakitan, kelaparan, kesengsaraan dan
serba kekurangan, inilah di antara amalan yang menjanjikan kita ganjaran
pahala yang begitu besar dari Allah Subhanahu Wataala.
Firman
Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Saba, ayat 39:-
Tafsirnya:
Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya tuhanku memewahkan rezeki bagi
sesiapa yang dikehendakinya di antara hamba-hambanya dan ia juga yang
menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan
menggantikannya dan dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.