Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

10 Zulhijjah 1425/21 Januari 2005

IBADAT KORBAN


Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Saudara muslimin yang berbahagia,
Pada kelazimannya di negara kita Hari Raya Haji diraikan tidaklah semeriah meraikan Aidil Firti, kerana hendak meraikan Aidil Fitri; orang kita sanggup berbelanja besar dan berhabis-habisan, dan persediaan pun dibuat lebih awal.  Tetapi tahukah kita bahawa kedudukan Aidil Adha itu lebih besar dan lebih tinggi daripada Aidil Fitri. Maka jika kita sanggup berbelanja besar pada Aidil Fitri, kenapa pula kita tidak sanggup berbelanja pada Aidil Adha, terutamanya menyertai ibadat korban yang menjanjikan pahala yang begitu besar di sisi Allah Subhanahu Wataala.

Sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:

Maksudnya:
Dari Aisyah Radiallahu-Anha, bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai oleh Allah Subhanahu Wataala dari menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.
(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Muslimin yang dirahmati Allah,
Hukum berkorban adalah sunat muakkadah iaitu sunat yang sangat dituntut. Tetapi akan menjadi wajib jika seseorang itu bernazar hendak berkorban. Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian berhubung dengan korban wajib (nazar) dan korban sunat ini, antaranya: Daging korban wajib hendaklah disedekahkan keseluruhannya termasuklah kulit dan tanduk binatang itu, dan haram hukumnya bagi orang yang berkorban wajib dan orang yang di bawah tanggungannya memakan daging korban tersebut. Sekiranya orang yang berkorban wajib dan orang-orang di bawah tanggungannya memakan sesuatu daripada korban yang wajib itu, maka wajib ke atasnya menggantikan dan menyedekahkannya.

Manakala daging korban sunat pula, wajib disedekahkan sebahagian daripada daging tersebut dalam keadaan mentah kepada fakir miskin, dan sunat bagi orang yang berkorban memakan sedikit daripada daging korban sunatnya, dan selebihnya terserahlah sama ada untuk disedekahkan atau dimakannya atau dijadikannya jamuan. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hajj, ayat 28:-

Tafsirnya:
Makanlah kamu dari daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.

Adapun cara yang lebih afdal bagi pembahagian daging korban sunat ialah kesemua daging itu disedekahkan kepada fakir dan miskin, kecuali sedikit (kadar beberapa suap) diambil untuk mengambil berkat. Diharuskan juga daging itu dibahagi tiga iaitu 1/3 disedekahkan kepada fakir dan miskin, 1/3 dihadiahkan kepada bukan fakir dan miskin, dan 1/3 untuk dimakan oleh orang yang berkorban. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Hajj, ayat 36:-

Tafsirnya:
Makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah bahagian yang lain kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta.

Wahai kaum muslimin,
Perlu diingat bahawa daging korban sama ada wajib ataupun sunat adalah haram disedekahkan atau dijual kepada orang kafir, sama ada yang memberi dan menjual itu orang yang berkorban atau fakir miskin yang menerima sedekah atau orang kaya yang diberi hadiah daging itu. Tetapi jika fakir miskin yang menerima sedekah daging itu menjualnya kepada orang Islam, maka adalah harus dan sah hukumnya. Akan tetapi jika daging korban yang diberi kepada orang kaya sebagai hadiah lalu dijualnya, maka hukumnya adalah haram.  Manakala kulit, tanduk dan bulu binatang tersebut adalah haram dijual oleh orang yang berkorban, sebagaimana hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu Anhu ia berkata: Bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesiapa yang menjual kulit korbannya, maka tiada dikira baginya korban. (Riwayat Al-Imam Hakim).

Daging korban tidak boleh dipindah ke negera lain, ia hendaklah disedekahkan di negara tempat ia berkorban itu sahaja. Bagi orang yang menyembelih pula, haram diberikan kepadanya daging korban dengan niat sebagai upah menyembelih, tetapi adalah harus sekiranya diberikan sebagai sedekah atau hadiah.

Adalah tidak sah berbuat korban bagi orang yang masih hidup melainkan dengan izinnya, dan begitulah juga orang yang telah meninggal dunia jika ia tidak berwasiat, tetapi harus bagi bapa atau nenek membuat korban dengan hartanya bagi anak atau cucunya.

Muslimin yang berbahagia,
Perlu diingat juga bahawa bahagian yang wajib disedekahkan itu hendaklah ia daging yang masih basah dan mentah dan tidak memadai jika bahagian yang disedekahkan itu berupa kulit, hati, tanduk dan seumpamanya. Begitu juga tidak memadai jika daging tersebut dimasak, kemudian dihidangkan kepada orang yang fakir dan miskin, kerana hak fakir dan miskin itu bukan pada makan daging tersebut, tetapi adalah memiliki daging berkenaan dan bukan memilikinya dalam keadaan yang telah masak.

Wahai kaum Muslimin,
Memandangkan hukum berkorban itu sunat muakkadah dan mempunyai banyak kelebihan, maka rebutlah peluang seumpama ini dengan memahami hukum-hakam yang berkaitan dengannya. Mudah-mudahan ibadat korban kita itu benar-benar menepati hukum syara' dan diterima oleh Allah Subhanahu Wataala.  Amin Ya Rabbal-‘Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj, ayat 36:-

Tafsirnya :
Dan kami jadikan unta yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekkah itu sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu. Pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu, oleh itu sebutlah nama Allah semasa menyembelihnya ketika ia berdiri dan terikat, maka apabila ia tumbang serta putus nyawanya, makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah bahagian yang lain kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah kami memudahkan dia untuk kamu menguasainya dan menyembelihnya supaya kamu bersyukur.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||