Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

17 Zulhijjah 1425/28 Januari 2005

MENYAMBUT KETIBAAN DYUYUFUR-RAHMAN (TETAMU ALLAH)


Ahli Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita tingkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan selamat di akhirat.

Alhamdulillah, kini jemaah haji telah pun selesai mengerjakan ibadat haji mereka, kita berdoa mudah-mudahan amalan mereka diterima oleh Allah Subhanahu Wataala dan mendapat haji yang mabrur dan seterusnya kembali ke tanah air dengan selamat, Insya Allah.

Dalam pada itu sebagaimana kelazimannya apabila sahaja tiba saat kepulangan jemaah haji dari tanah suci, maka kaum keluarga dan sanak saudara yang menunggu kepulangan mereka akan besiap sedia mengalu-alukan dengan penuh rasa syukur dan gembira.

Dalam suasana kita sibuk membuat persediaan menyambut ketibaan Dyuyufur-Rahman (tetamu Allah) ini sayugia diingat supaya sambutan yang diadakan itu jangan bertentangan dengan hukum agama kita kerana sambutan ini adalah sebagai menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala di atas kepulangan mereka dari tanah suci Mekkah, bukan dengan membazir dan berlebih-lebihan berbelanja apatah lagi dengan melakukan amalan yang langsung tidak terdapat dalam amalan agama Islam.

Sebagaimana kelaziman orang-orang kita Brunei, ada di antaranya mendirikan pintu gerbang dan kain rentang yang mengandungi perkataan “Semoga Beroleh Haji Yang Mabrur” dan ada pula dengan perkataan “Selamat Pulang Ke Tanah Air”.  Perbuatan sedemikian tidaklah menjadi kesalahan selagi niat semata-mata untuk memuliakan dan menghormati kedatangan orang-orang haji itu serta menzahirkan rasa syukur kepada Allah Subhanahu Wataala, dan tidak dibuat dengan cara membazir kerana membazir itu daripada perbuatan syaitan.  Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa’, ayat 27:-

Tafsirnya:
Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Di dalam Islam terdapat adab-adab yang sunat dilakukan oleh para jemaah yang baru kembali dari tanah suci dan bagi orang yang menyambut kepulangan mereka. Bagi jemaah haji yang baru kembali itu, Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mengajarkan supaya orang-orang haji itu sendiri apabila ia hendak sampai ke rumah sunat baginya untuk singgah ke masjid terlebih dahulu dan melakukan sembahyang sunat dua rakaat, dan apabila sampai ke rumahnya pula dia bersembahyang lagi dua rakaat dan berdoa serta bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala di atas selamatnya dia kembali kepangkuan kaum keluarganya.

Manakala adab bagi orang-orang yang menyambut kedatangan jemaah haji itu pula di antaranya:-

Pertama: Kita disunatkan untuk bersalaman dan berjabat tangan serta berpeluk-pelukan, tetapi hendaklah di antara lelaki dengan lelaki dan perempuan dengan perempuan sahaja.  Bukan sebaliknya sehingga tidak menghiraukan antara lelaki dan perempuan. Walaupun yang berpelukan itu di antara keduanya ada hubungan mahram akan tetapi adalah tidak manis ianya berpelukan di khalayak ramai. Kerana perbuatan sedemikian boleh menimbulkan fitnah, tetapi memadailah dengan berjabat tangan sahaja.

Kedua: Seeloknya bagi mereka yang menyambut ketibaan jemaah haji itu meminta kepada jemaah haji berkenaan berdoa untuk dirinya sebagaimana hadith dari Ahmad ibni Hanbal dari Ibni Umar Radiallahu-Anhuma:-

Maksudnya:
Apabila engkau bertemu orang haji (yang baru balik haji) maka bersalamlah dengannya dan berjabat tanganlah dengannya dan suruhlah dia berdoa memohon keampunan untuk dirimu sebelum dia masuk ke rumahnya, maka sesungguhnya dia itu telah mendapat keampunan Allah Taala (doanya adalah dimakbulkan).

Ketiga:  Sunat bagi orang yang menyambut jemaah haji itu ketika bersalaman dan berjabat tangan berkata:-

Maksudnya:
Semoga Allah menerima ibadat haji engkau dan mengampunkan dosa engkau serta menggantikan perbelanjaan yang telah engkau keluarkan.

Ahli Jumaat sekalian,
Demikianlah wahai kaum muslimin di antara beberapa amalan dan adab bagi orang yang balik dari menunaikan ibadat haji serta orang yang menyambut kedatangan mereka, maka ikutlah panduan tersebut dan elakkan dari melakukan amalan-amalan yang bertentangan dengan ajaran agama Islam semata-mata mengikut kebiasaan dan adat resam. Sama-samalah kita berdoa semoga jemaah haji khususnya jemaah haji Negara Brunei Darussalam mendapat haji yang mabrur dan selamat kembali ke tanah air.  Amin Ya Rabbal-‘Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 31:-

Tafsirnya:
Katakanlah jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa mu, Allah maha pengampun lagi maha penyayang.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||