Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

05 Zulkaedah 1425/17 Disember 2004

IBADAT HAJI

Wahai kaum Muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Muslimin yang dirahmati Allah,
Sekarang kita berada di bulan Zulkaedah, di mana pada kelazimannya pada bulan inilah bakal-bakal haji negara kita akan mula berangkat meninggalkan tanah air menuju ke Tanah Suci mengunjungi Baitullah untuk menunaikan ibadat haji. Menunaikan ibadat haji merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima yang wajib ke atas umat Islam yang mempunyai kemampuan dan memenuhi syarat-syaratnya untuk mengerjakannya. Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Ali-Imran, ayat 97:-

Tafsirnya:
Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur ingkar akan kewajipan ibadat haji itu, maka sesungguhnya Allah maha kaya tidak berhajatkan sesuatu pun dari sekalian makhluk.

Allah Subhanahu Wataala mewajibkan sesuatu ibadat itu kepada hamba-hambanya setentunya mempunyai hikmah dan ganjaran yang tertentu.  Begitulah juga ibadat haji, telah disebutkan dalam hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu ia berkata: Telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah dan tidak melakukan perkara-perkara keji dan tidak berbuat fasik, maka dia suci daripada dosanya seolah-olah dia kembali pada hari dia dilahirkan oleh ibunya. (Riwayat Al-Imam Al-Bukhari)

Sidang Jumaat sekalian,
Ibadat haji merupakan pengukuhan iman seseorang yang boleh membantu menyempurnakan taubat dengan ikhlas dan betul, serta melahirkan rasa syukur kepada tuhan di atas kurnia nikmat harta dan kesihatan kepada kita, kerana tanpa harta dan kesihatan tubuh badan setentunya kita tidak dapat menunaikan ibadat haji.

Ibadat haji juga mempunyai keistimewaan kepada umat Islam, dan merupakan perhimpunan umat Islam yang terbesar di dunia, yang membolehkan kita berkenalan sesama mereka yang datang dari seluruh pelusuk dunia tanpa mengira kedudukan, pangkat, bahasa dan bangsa. Inilah dia hikmatnya persaudaraan dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh Al-Quran bahawa orang Islam itu bersaudara.

Wahai kaum muslimin,
Kita sangat bersyukur kerana masyarakat kita di Brunei Darussalam ini menyedari tentang kewajipan menunaikan ibadat haji, kerana pada setiap tahun ada saja orang yang hendak menunaikan ibadat haji. Tetapi apa yang ingin kita ingatkan bahawa menunaikan haji itu adalah wajib ke atas orang yang berkemampuan sahaja. Oleh itu janganlah sampai kerana hendak menunaikan ibadat haji kita terpaksa berhutang sehingga menjadi beban dan kesusahan hidup kita. Perbuatan sedemikian adalah dilarang oleh Islam. Sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam:-

Maksudnya:
Dari Abi Hurairah Radiallahu-Anhu ia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Roh seseorang mukmin itu tergantung-gantung dengan hutangnya sehinggalah hutangnya itu dibayar.
(Riwayat Al-Imam At-Tarmizi).

Muslimin yang dirahmati Allah,
Dikesempatan ini inginlah kita mengingatkan kepada bakal-bakal jemaah haji, bahawa pemergian ke tanah suci itu merupakan pemergian kerana ibadat. Oleh itu janganlah hendaknya ibadat yang memerlukan pengorbanan yang begitu banyak dicampuradukkan dengan perkara-perkara mungkar dan bid’ah serta kepercayaan karut yang bertentangan dengan akidah yang benar.

Di antara perbuatan yang menyalahi ajaran agama Islam yang sering kedengaran berlaku antaranya ialah membawa wang bersama ketika tawaf dengan tujuan mentawafkan wang tersebut agar memperolehi berkat, mengutip batu untuk dibawa balik ke Brunei, memeluk atau mendakap tiang Jin.  Kononnya untuk mengetahui sama ada umurnya panjang atau pendek, dan adakah dapat mengerjakan haji kali kedua atau tidak dan adakah hajinya mabrur atau mardud (ditolak), menggunakan kekerasan dan berebut-rebut untuk mengucup Hajaral-Aswad sehingga menyakiti orang lain atau diri sendiri dengan tidak memikirkan keselamatan dan menyebabkan kecederaan, sedangkan mengucup Hajaral-Aswad itu hukumnya sunat, perkara-perkara sedemikian hendaklah dielakkan dan tidak dilakukan.

Maka demi untuk mendapatkan keredhaan Allah Subhanahu Wataala, janganlah kita mencemari amal ibadat yang kita lakukan dengan perbuatan-perbuatan yang salah dan terpesong dari akidah Islam yang sebenar. Mudah-mudahan segala ibadat kita diterima Allah Subhanahu Wataala.  Amin Yaa Rabbal ‘Alamin.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Hajj, ayat 27 – 28:-

Tafsirnya:
Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang (ke Baitullah) dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai-bagai jalan dan ceruk rantau yang jauh. Supaya mereka menyaksikan berbagai-bagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu, kerana pengurniaannya kepada mereka dengan binatang-binatang ternak untuk dijadikan korban, dengan yang demikian makanlah kamu dari daging binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah, yang fakir miskin.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||