Misi
---------------------
 Matlamat
---------------------
 Peranan
---------------------
 Strategi
---------------------
 Struktur
 Organisasi

---------------------
 Piagam
 Pelanggan

---------------------
 Teks Khutbah
---------------------
 Waktu
 Sembahyang

---------------------
 Masjid-Masjid
 Di Brunei

---------------------
 Maklumbalas
---------------------

19 Zulkaedah 1425/31 Disember 2004

AJARAN SESAT

Wahai kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan dan keikhlasan dengan melakukan segala suruhannya, dan meninggalkan segala larangannya. Mudah-mudahan kita menjadi insan yang bertakwa dan beriman serta selamat di dunia dan di akhirat.

Sidang Jumaat sekalian,
Sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan Negara Brunei Darussalam bahawa agama rasmi bagi Negara Brunei Darussalam ialah agama Islam menurut Ahli Sunnah Wal-Jemaah. Berpegang dengan akidah Ahli Sunnah Wal-Jemaah telah terbukti dapat menyatupadukan umat dan sekaligus mengwujudkan keamanan dan keharmonian negara. Tetapi di akhir-akhir ini, terdapat usaha untuk mengganggu gugat keamanan tersebut, di mana terdapat individu atau golongan tertentu yang cuba memesungkan fahaman yang telah lama diamalkan di negara ini dengan membawa fahaman-fahaman baru yang bercanggah dengan pegangan Ahli As-Sunnah Wal-Jemaah.

Dalam suasana ini, kita hendaklah berhati-hati dan berwaspada terhadap anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab ini, jangan mudah menerima sesuatu fahaman atau ajaran itu tanpa usul periksa. Jangan mudah terpengaruh dengan keajaiban atau keganjilan yang dipamerkan. Sebaliknya jika terdapat mana-mana pertubuhan atau orang perseorangan yang mendakwa dirinya sebagai wali, rasul dan sebagainya, maka hendaklah segera dirujukkan kepada pihak-pihak yang berkenaan yang bertanggungjawab menanganinya.

Wahai kaum muslimin,
Sejak Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam masih hidup lagi dan hinggalah ke hari ini, terdapat ramai bilangan orang yang mendakwa dirinya sebagai Nabi dengan mengemukakan berbagai-bagai dalil dan hujah untuk menegakkan dakwaan tersebut, sedangkan dakwaan mereka itu tidak benar, bahkan mempunyai kepentingan tersendiri, bukan sebagaimana Nabi yang diangkat oleh Allah Subhanahu Wataala yang semata-mata menjalankan perintah Allah Subhanahu Wataala.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda bahawa orang yang mendakwa menjadi Nabi selepas baginda adalah pembohong, sebagaimana sabdanya:-

Maksudnya:
Dari Tsauban ia berkata: Telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Akan muncul dari kalangan umatku tiga puluh orang pendusta, semuanya mendakwa dirinya Nabi. Aku adalah penutup segala Nabi, tidak ada Nabi selepasku. 
(Riwayat Al-Imam At-Termizi).

Saudara muslimin yang dirahmati Allah,
Di dalam sejarah, tercatat banyak nama yang mendakwa diri mereka sebagai Nabi, di antaranya ialah Musailamatul-Kazzab, Aswad Al-Insi, Sajjah binti Al-Harith, Ahmad bin Hussin, Mirza Ghulam Ahmad, Mirza Ala Muhammad, Bahahullah, Hasan bin Hamdan dan banyak lagi.

Baru-baru ini telah tampil pula seorang dari kalangan orang melayu yang bernama Kahar bin Ahmad dari negara jiran yang mendakwa dirinya seorang rasul. Beliau mengaku bahawa kitab Al-Quran itu diturunkan kepadanya. Kahar bin Ahmad juga mendakwa dirinya diberitahu oleh Allah Subhanahu Wataala melalui malaikat Jibril Alaihissalam di dalam surah Yaasin yang ditafsirkannya sendiri yang membawa maksud bahawa dirinya adalah seorang rasul.

Cubalah kita sama-sama berfikir, adakah dakwaan seperti ini masuk akal dan boleh diterima oleh akal yang sihat dan sempurna, sedangkan jelas terbukti bahawa tiada Nabi selepas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, dan Al-Quran itu hanya diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Maka ternyata dakwaan sedemikian amat bertentangan dengan fakta sebenar.  Sebagaimana firman Allah Subhanahu Wataala di dalam Surah Al-Ahzab, ayat 40:-

Tafsirnya:
Bukanlah Nabi itu dengan sebab ada anak angkatnya menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-Nabi dan ingatlah Allah maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam juga ada bersabda:-

Maksudnya:
Dari Abu Hurairah Radiallahu-Anhu ia berkata, telah bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam: Dahulu Bani Israil dipimpin oleh para Nabi, apabila wafat seorang Nabi akan diganti pula dengan seorang Nabi, sesungguhnya tidak ada Nabi selepasku dan akan terangkat selepasku beberapa khalifah bahkan akan bertambah banyak. (Riwayat Al-Imam Muslim).

Muslimin yang berbahagia,
Berhati-hatilah dan berwaspadalah sebelum kena, bertanyalah kepada orang yang tahu, kerana mempercayai kemunculan seorang Nabi selepas Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam adalah akidah yang salah dan bathil. Akidah yang bathil bererti sesuatu iktikad atau kepercayaan yang bercanggah dengan nas-nas syariah dari Al-Quran dan As-Sunnah, dengan kata lain akidah yang bathil adalah suatu akidah yang terkeluar dari iktikad Ahli As-Sunnah Wal-Jemaah. Sesiapa yang mendustakan Al-Quran, mendustakan Hadith Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam serta ijma’ ulama, maka hukumnya kufur. Na'uuzu Billahi Min Zalik.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Nahl, ayat 106:-

Tafsirnya:
Sesiapa yang kufur kepada Allah Subhanahu Wataala sesudah ia beriman maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah, kecuali orang yang dipaksa melakukan kufur sedang hatinya tenang tenteram dengan iman, akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kufur, maka atas mereka tertimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.


|| Misi | Matlamat | Peranan | Strategi | Struktur Organisasi | Piagam Pelanggan | Laman Web Masjid-Masjid | Maklumbalas ||
|| Home | Government | Ministries and Departments | About Brunei | On-line News | Important Contacts | Related Sites ||